KUALA LUMPUR: Lebih RM1 bilion berjaya dikumpul melalui pasaran dana awam berperaturan dari pasaran modal Malaysia oleh 2,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Syed Zaid Albar berkata, penyertaan pelabur individu didapati meningkat melalui pengurus pelaburan digital (DIM), platform kewangan rakan kepada rakan (P2P) dan Pendanaan Awam Ekuiti (ECF), pertukaran aset digital (DAX) dan broker dalam talian.
“Lebih 80 peratus pelabur dalam pasaran dana awam adalah pelabur runcit dengan 60 peratus daripadanya berumur 35 tahun ke bawah.
“Walau bagaimanapun, kami ingin mengingatkan pelabur untuk hanya melabur dalam produk dan perkhidmatan pasaran modal berautoriti. Dengan penipuan dalam talian yang semakin meningkat, pelabur juga perlu berhati-hati supaya tidak ditipu oleh mereka yang mencari keuntungan dalam persekitaran rendah kadar faedah ini,” katanya ketika menyampaikan kata alu-aluan dalam Persidangan SCxSC Fintech yang dijalankan secara maya hari ini.
SC telah meluluskan tiga DAX pada 2019 dengan empat aset digital dibenarkan untuk didagangkan.
Secara keseluruhannya, 400,000 akaun telah dibuka melalui ketiga-tiga DAX tersebut dengan nilai dagangan melepasi RM100 juta pada Ogos lalu.
Selain itu, terdapat tujuh DIM yang mendaftar dengan SC dan ia berjaya menarik ramai pelabur baharu apabila hampir 90,000 akaun baharu dibuka pada Ogos, lebih dua kali ganda lebih banyak berbanding keseluruhan akaun yang dibuka pada 2019.
Sementara itu, permintaan terhadap perkhidmatan pembrokeran dalam talian meningkat dengan penambahan 270 peratus akaun baharu yang dibuka pada Ogos berbanding tahun lalu, selain purata jumlah dagangan juga meningkat tiga kali ganda.
Persidangan SCxSC Fintech adalah acara tahun yang telah memasuki tahun ketujuh penganjurannya. Tahun ini, lebih 5,000 peserta menyertai persidangan tersebut yang dilakukan secara maya.
Isu yang dibincangkan tahun ini termasuk bagaimana industri Fintech Malaysia mengharungi cabaran pandemik, perilaku pelaburan dalam masa sukar, pelaburan dan pendanaan awam bertanggungjawab serta kripto dalam kewangan Islam. – UTUSAN