Pakej rangsangan perlu diteruskan - Utusan Malaysia

Pakej rangsangan perlu diteruskan

Ekonomi dijangka akan pulih secara berperingkat memandangkan sentimen masih lemah berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneruskan bantuan atau pakej rangsangan ekonomi bagi memastikan rakyat dapat mengharungi tempoh mencabar sewaktu penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

Menurut Pengerusi Khazanah Research Institute (KRI), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, rakyat dan negara masih belum keluar daripada krisis dengan Malaysia sedang menghadapi gelombang ketiga jangkitan virus berkenaan.

Dalam masa yang sama, Nor Mohamed yang juga bekas Menteri Kewangan II me­negaskan, kerajaan juga tidak perlu terlalu bimbang untuk meningkatkan nisbah perkhidmatan hutang negara dalam usaha membantu rakyat.

“Kerajaan perlu terus membantu daripada segi bantuan atau pakej rangsangan. Saya yakin kita masih mempunyai kapasiti untuk membuat pinjaman kerana ketika ini ramai isi rumah berada dalam keadaan rentan.

“Mereka (isi rumah) ini sedang bimbang de­ngan nasib yang akan menimpa mereka esok. Kita juga mempunyai masa mencukupi untuk menentukan apa yang terbaik atau tidak berdasarkan kepada pelaksanaan pakej rangsangan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas taklimat media mengenai laporan terbaharu KRI bertajuk ‘Welfare in Malaysia Across Three Decades’ secara maya, semalam.

Turut hadir, Penasihat Penyelidikan KRI, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram dan penyelidik KRI yang juga penulis laporan, Hawati Abdul Hamid dan Adam Manaf Mohamed Firouz.

Dalam pada itu, Hawati berkata, hasil kajian KRI itu menunjukkan keperluan mendesak untuk mentransformasikan ekonomi bagi melonjakkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, ia perlu dicapai dengan mewujudkan lebih banyak pekerjaan dalam industri dan aktiviti yang mempunyai nilai tambah tinggi.

“Untuk mencapai kemakmuran bersama, dasar kerajaan juga perlu memberi fokus mengurangkan jurang pendapatan gaji antara dan dalam industri seiring dengan langkah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Menurut Hawati, laporan itu mendapati, perbelanjaan isi rumah telah meningkat namun corak penggunaan berubah apabila perbelanjaan seperti makan di luar, barangan dan perkhidmatan komunikasi semakin bertambah.

“Perbelanjaan yang dahulu­nya dianggap sebagai sampingan tetapi kini menjadi satu keperluan dan kadangkala memberi tekanan kepada peningkatan kos sara hidup,” jelas beliau.

Tambah Hawati, hasil kajian itu turut mendapati lebihan pendapatan antara kumpulan isi rumah adalah sangat berbeza.

Beliau menjelaskan, setelah ditolak semua perbelanjaan pengguna, purata lebihan kasar pendapatan isi rumah 10 peratus teratas (T10) adalah sebanyak RM12,653 sebaliknya isi rumah 10 peratus terbawah hanya mempunyai purata lebihan kasar sebanyak RM200 sebulan.

“Namun, jumlah lebihan kasar tersebut belum mengambil kira pembayaran wajib seperti bayaran skim keselamatan sosial, cukai, zakat dan pindaan tunai antara isi rumah.

“Sekiranya perbelanjaan tersebut diambil kira, baki bersih pendapatan adalah lebih rendah dengan sebilangan isi rumah mengalami defisit kewangan bulanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya