KUALA LUMPUR: Penerbitan My Local Stats yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan disifatkan sangat penting bagi memberi gambaran sebenar mengenai situasi semasa negara di peringkat tempatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penerbitan itu akan menjadi sumber rujukan dan asas penting dalam menggubal serta melaksanakan polisi kerajaan untuk tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat.
Katanya, statistik terperinci peringkat daerah amat diperlukan bagi membolehkan kerajaan membuat perancangan dan memastikan agihan sumber yang berkesan.
Menurut Mustapa, ia juga akan menjadi input kepada agensi di negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk merancang, membuat keputusan berdasarkan bukti serta pemantauan terutamanya bagi agenda tempatan.
“Statistik ini juga diperlukan dalam membuat pemantauan terhadap pencapaian Agenda Mampan 2030 berteraskan No One Left Behind (Tiada Siapa yang Ketinggalan) di samping turut menyokong elemen matlamat pembangunan lestari (SDG).
“Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat pastinya memerlukan keputusan yang dibuat dengan betul serta berasaskan bukti dan fakta menyeluruh di samping mencukupi.
“Pastinya dengan ketersediaan statistik yang teguh, penyaluran sumber negara bagi perancangan dan pembangunan dapat dilaksanakan secara cekap serta berkesan,” katanya ketika melancarkan Penerbitan My Local Stats menerusi siaran langsung secara maya di laman Facebook Jabatan Perangkaan semalam.
Penerbitan My Local Stats buat julung kali itu memuatkan statistik sosioekonomi utama di peringkat daerah pentadbiran bagi siri masa 2017 hingga 2019 dan dilancarkan bersempena Hari Statistik Negara 2020 yang akan disambut bersekali Hari Statistik Sedunia hari ini.
My Local Stats diterbitkan untuk setiap daerah pentadbiran yang keseluruhannya berjumlah 160 termasuk Wilayah Persekutuan dan Perlis.
Pecahan penerbitan merangkumi 143 bagi daerah sedia ada sebelum tahun 2013, satu penerbitan merangkumkan 13 daerah baharu dan empat penerbitan bagi Wilayah Persekutan serta Perlis.
Ia mengandungi 20 bidang statistik sosioekonomi antaranya penduduk, perumahan, pasaran buruh, pekerjaan dan pengangguran, pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, pendidikan, kesihatan, perkhidmatan kebajikan, keselamatan awam, perhubungan dan rekreasi, internet dan media sosial serta kemudahan asas. – UTUSAN