KUALA LUMPUR: Syarikat MR D.I.Y Group (M) Berhad (MR D.I.Y), memenangi Anugerah Kepimpinan Pasaran Perkakas Rumah Runcit Malaysia di majlis Anugerah Amalan Terbaik Frost & Sullivan 2020 semalam.
Pengiktirafan tersebut dicapai atas usaha gigih syarikat peruncit perkakas rumah dibangunkan di dalam negara itu, meliputi jenama MR D.I.Y., MR TOY dan MR DOLLAR.
Anugerah daripada firma perundingan perniagaan global itu mengiktiraf insan dan organisasi yang telah mempelopori inovasi atau memainkan peranan penting sebagai perintis dan menunjukkan pencapaian luar biasa dalam strategi serta proses.
Naib Presiden Pemasaran MR D.I.Y., Andy Chin berkata, pihaknya bersyukur dengan kemenangan itu khususnya dalam suasana luar biasa masa kini yang telah mewujudkan persekitaran ekonomi yang amat mencabar.
“Kami juga amat menghargai anugerah berprestij yang diterima daripada sebuah organisasi tersohor dan dihormati seperti Frost & Sullivan.
“Penerimaan anugerah ini membuktikan usaha konsisten dan inovatif kami untuk menjadi pemimpin pasaran dalam industri perkakas rumah runcit,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurut Chin, pencapaian itu berkat dedikasi dan kesungguhan setiap kakitangan terhadap tugas masing-masing dan memperlihatkan sokongan pelanggan yang tetap yakin dan setia terhadap jenama-jenama MR D.I.Y selama ini.
“Anugerah ini juga menjadi inspirasi untuk kami terus meningkatkan prestasi demi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan dan berkembang maju,” kata beliau.
Kejayaan ini bukan kali pertama buat MR D.I.Y. di peringkat antarabangsa. Syarikat juga pernah memenangi anugerah dalam Kategori Runcit – Perkakas Rumah (Peringkat Kebangsaan) di Anugerah Penjenamaan Dunia pada 2018 dan 2019. – UTUSAN