KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) menafikan telah meluluskan pembiayaan atau jaminan kerajaan kepada AirAsia Group Berhad sebagaimana dilaporkan oleh media.
“Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa tiada pembiayaan atapun jaminan Kerajaan yang telah diluluskan kepada mana-mana syarikat penerbangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
AirAsia dilaporkan menerima pinjaman RM1 bilion daripada kerajaan bagi membantu syarikat penerbangan itu pulih kembali susulan pandemik Covid-19.
Menurut laporan Nikkei Asia yang memetik sumber, pinjaman itu diberikan oleh beberapa bank tempatan di bawah skim kerajaan untuk membantu syarikat itu menangani wabak Covid-19 dan dijamin 80 peratus oleh Kementerian Kewangan. – UTUSAN