Lanjut moratorium untuk bantu B40, PKS - Utusan Malaysia

Lanjut moratorium untuk bantu B40, PKS

Orang ramai mengambil kesempatan berkunjung ke Pusat Konvensyen Shah Alam sempena Kempen Bantuan Pembayaran Balik Pinjaman anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) di Seksyen 14 Shah Alam, baru-baru ini. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) berharap kerajaan akan kembali melanjutkan tempoh moratorium menyeluruh sekurang-kurangnya sehingga Disember ini.

Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata, moratorium menyeluruh dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang menyebabkan golongan berpendapatan rendah dan per­usahaan kecil dan sederhana (PKS) sukar menunaikan tanggungjawab pembayaran balik pinjaman kepada bank.

“Sementara NUBE menyokong langkah yang diambil (Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai respons kepada peningkatan kes Covid-19 dalam ucapannya semalam, kami kecewa beliau tidak menyentuh kepentingan melanjutkan tempoh moratorium menyeluruh pembayaran pinjaman untuk kumpulan sasaran seperti yang dicadang­kan NUBE dan disokong pelbagai pihak lain.

“NUBE berharap Perdana Menteri akan mengambil perhatian terhadap hal ini memandangkan golongan B40, M40 dan PKS sedang bergelut dengan kesukaran kewangan serta memerlukan moratorium menyeluruh sekurang-kurangnya sehinga hujung tahun ini,” katanya dalam ke­nyataan di sini semalam.

Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk menamatkan moratorium menyeluruh automatik bermula 30 September lalu dan menggantikannya dengan moratorium bersasar.

Menurut Bank Negara Malaysia, setakat 30 September kira-kira 500,000 permohonan dibuat kepada bank untuk melanjutkan tempoh moratorium dengan 98 peratus daripadanya diluluskan.

Mengulas lanjut, Solomon menegaskan bahawa bank tidak sepatutnya mengabaikan tanggungjawab moralnya memandangkan ramai dalam kalangan B40 dan M40 adalah pelanggan setia serta pekerja bank sendiri yang membantu institusi perbankan mencatat keuntungan saban tahun.

“Kami berharap Perdana Menteri akan melakukan sesuatu supaya bank melanjutkan tempoh moratorium menyeluruh memandangkan kerajaan pernah membantu mereka mengharungi cabaran krisis kewangan pada penghujung 1990-an.

“Bank mesti membalas jasa dengan melanjutkan tempoh moratorium menyeluruh untuk B40 dan M40 selain PKS untuk baki tahun ini. Seperti dimaklumkan sebelum ini, bank tidak akan mengalami kerugian akibat tindakan itu kerana bayaran hanya ditangguhkan untuk menangani impak pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya