KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 terus menunjukkan kesan positif melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatian Rakyat (Prihatin), PRIHATIN PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) dan Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini berdasarkan tiga statistik iaitu Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) dan Perangkaan Pembuatan Bulanan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan bagi Ogos yang telah menunjukkan peningkatan.
“Seiring dengan peningkatan indikator-indikator ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga turut melaporkan pengurangan dalam kes kehilangan pekerjaan (LOE) dan peningkatan dalam penempatan semula pekerja.
“Jumlah pekerja yang hilang pekerjaan semakin menurun iaitu sebanyak 7,388 orang pada September setelah mencecah kemuncak sebanyak 18,579 orang pada Jun lalu,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, pada masa yang sama peningkatan dalam kadar penempatan semula pekerja juga meningkat mencapai 43 peratus pada September lalu, daripada kadar terendah iaitu 6 peratus pada Jun 2020.
“Perkembangan-perkembangan positif ini bermula pada Jun lalu apabila kerajaan membuka semula semua sektor ekonomi selepas ditutup pada 19 Mac 2020.
“Kerajaan sedar bahawa keperluan untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat adalah sama penting dan harus diberikan perhatian yang utama. Justeru, kerajaan komited dalam memastikan kedua-dua aspek ini sentiasa ditekankan demi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan ekonomi negara serta rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN