Kena lakukan sesuatu elak pengangguran - Utusan Malaysia

Kena lakukan sesuatu elak pengangguran

Nasib pelajar perubatan di Mesir terumbang-ambing ekoran ketetapan baharu dikeluarkan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) berhubung kelayakan kelulusan mereka. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran tinggi sehingga paras 7.4 peratus seperti tahun 1986 boleh berulang jika kerajaan dan semua pihak tidak mengambil langkah proaktif mewujudkan peluang pekerjaan buat bakal graduan serta golongan belia.

Penganalisis ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, ancaman pengangguran terburuk tersebut tidak mustahil selepas ekonomi negara menguncup pada suku kedua tahun ini kesan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, beliau percaya kerajaan sedang melakukan sesuatu bagi membantu rakyat melepasi saat sukar.

“Bakal graduan pula harus terus mencari peluang menjana pendapatan selaras dengan matlamat ke arah Revolusi Perindustrian 4.0.

“Saya risau jika berlaku gelombang ketiga Covid-19, proses pemulihan ekonomi akan terjejas dan menyebabkan pengangguran meningkat manakala orang ramai tidak mampu membeli barang keperluan.

“Perkara seperti ini boleh dielakkan kalau semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga contohnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian virus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Nuradli berkata, mengimbau pasaran buruh tahun 1980-an, Jabatan Perangkaan merekodkan kadar pengangguran ketika itu meningkat daripada 5.3 peratus kepada 5.7 peratus pada 1981.

Jelas beliau, masalah tersebut semakin ketara apabila Malaysia mengalami kemelesatan ekonomi pada tahun 1985 yang menyebabkan kadar pengangguran meningkat kepada 5.6 peratus pada tahun 1985 dan 7.4 peratus (1986).

“Malaysia ketika itu mencatatkan kadar pengangguran tertinggi dalam tempoh 40 tahun ekoran pertumbuhan sektor swasta perlahan sehingga mengurangkan permintaan buruh,” kata beliau.

Isnin lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad mengunjurkan 25 peratus atau 75,000 daripada 300,000 bakal graduan tahun ini mungkin terjejas peluang mendapat pekerjaan susulan pandemik Covid-19.

Sementara itu, pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff mengesyorkan bakal graduan memfokuskan bidang pertanian kerana negara masih mengimport banyak makanan dari luar negara.

“Graduan hendaklah memikirkan kursus yang sesuai dengan kehendak industri sebelum mereka bersedia belajar ke peringkat lebih tinggi selepas ini,” katanya.

Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff pula berkata, masalah ekonomi 30 tahun dahulu tidak sesuai dibuat perbandingan kerana situasi ekonomi ketika itu berasaskan pembuatan.

Menurut beliau, ekonomi negara ketika ini lebih menekankan sektor perkhidmatan dan gig yang menyumbang hampir 70 peratus kepada pendapatan negara.

“Gangguan ekonomi memang ada tetapi tidaklah sehingga ke tahap seperti beberapa tahun lalu. Saya menjangkakan isu pengangguran dalam kalangan graduan ini hanya bertahan dalam tempoh setahun hingga dua tahun sahaja.

“Kerajaan sudah memberikan pelbagai pakej rangsangan dan insentif bagi membantu golongan yang terjejas akibat Covid-19.

“Apa yang perlu graduan kena bijak mengambil peluang bekerja sendiri dalam sektor gig ekonomi, menjadi usahawan serta melibatkan diri mencari lebih banyak peluang ekonomi secara dalam talian,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN