Kawasan SIJORI bakal terima manfaat - Utusan Malaysia

Kawasan SIJORI bakal terima manfaat

S. Ari Wardhana menunjukkan kawasan ekonomi yang dibangunkan oleh kerajaan Indonesia di Johor Bahru, baru-baru ini. - UTUSAN/KHAIRUL MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerjasama ekonomi dalam kawasan Pertumbuhan Segitiga Singapura-Johor-Riau (SIJORI) dijangka menerima manfaat apabila ekonomi Indonesia diunjurkan lebih berdaya tahan dan mampan pada suku ketiga tahun ini.

Konsul Hal Ehwal Ekonomi Pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, S. Ari Wardhana berkata, perkara itu secara tidak langsung turut membuka lebih banyak peluang pelaburan antara Johor dan Riau.

Katanya, hal itu disokong dengan kedudukan Riau sebagai satu daripada 15 Zon Ekonomi Khas yang dibangunkan di negara republik itu.

“SIJORI yang bermula sejak 1993 telah berjaya memberi manfaat kepada ketiga-tiga negara terlibat namun begitu, potensi sebenar kerjasama itu belum dimanfaat sepenuhnya, sekali gus memberi peluang kepada Johor dan Riau untuk meningkatkan lagi nilai ekonomi masing-masing.

“September tahun ini contohnya, nilai eksport produk bukan gas Indonesia ke Malaysia bernilai RM275.33 juta, menjadikan Malaysia sebagai 10 negara teratas rakan eksport Indonesia.

“Sudah pasti ini memberi isyarat baik kepada kerjasama SIJORI yang ketika ini masih lagi berterusan di antara ketiga-tiga negara,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad mahu merancakkan semula kerjasama SIJORI sebagai satu daripada agenda utama bagi meningkatkan ekonomi Johor.

Menurut Hasni, kerjasama strategik melalui SIJORI turut membantu Johor menerima pelaburan bernilai hampir RM8.5 bilion dalam sektor pembuatan dalam tempoh enam tahun bermula 2013 hingga 2019.

Ari turut memberitahu, Johor dan Riau mempunyai kekuatan ekonomi yang hampir serupa namun aspek berkenaan tidak perlu dijadikan sebab untuk kedua-dua pihak bersaing tetapi sebaliknya harus saling melengkapi.

“Bagi mengelakkan kedua-dua negara melihat sesama sendiri sebagai pesaing, adalah perlu untuk meningkatkan komunikasi sedia ada dengan mengadakan pertemuan, lawatan kerja atau perbincangan melibatkan pelbagai sektor berbeza.

“Selain itu, usaha untuk mempromosikan kerjasama SIJORI ini juga perlu dipertingkat dalam usaha menarik pemain industri membuat pelaburan berskala besar yang secara tidak langsung memberi manfaat bukan sahaja kepada negara anggota, tetapi juga penduduk setempat,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya