TOKYO: Kadar pengangguran Jepun pada Ogos lalu meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lebih tiga tahun disebabkan penularan pandemik Covid-19.
Dalam masa yang sama, jumlah ketersediaan pekerjaan turut merudum ke tahap terendah dalam tempoh lebih enam tahun.
Angka-angka tersebut muncul selepas Perdana Menteri baharu Jepun, Yoshihide Suga berjanji untuk terus mencipta pekerjaan, memastikan perniagaan terus beroperasi dan membantu ekonomi pulih daripada kesan langkah diambil untuk mengekang penyebaran Covid-19.
Data terbaharu seperti output pengilangan dan sentimen perniagaan turut menunjukkan pemulihan ekonomi yang perlahan.
“Subsidi pekerjaan khas dilaksanakan untuk menyokong syarikat yang terkesan dengan Covid-19 telah membantu mengekang peningkatan kadar pengangguran yang mungkin melonjak lebih tinggi,” kata Ketua Ekonomi Institut Penyelidikan Itochu, Atsushi Takeda.
“Orang ramai telah mula mencari pekerjaan tetapi pasaran tenaga buruh tidak cukup kukuh. Kadar pemulihan pasaran buruh dijangka perlahan dengan kadar pengangguran akan terus meningkat,” katanya.
Kadar pengangguran Jepun yang diselaraskan meningkat kepada tiga peratus Ogos lalu, tertinggi sejak Mei 2017 sekali gus memenuhi unjuran purata penganalisis.
Data menunjukkan kira-kira 2.06 juta orang kehilangan pekerjaan pada bulan berkenaan, 490,000 lebih ramai berbanding bulan sama tahun sebelumnya sekali gus menunjukkan peningkatan bagi tujuh bulan berturut-turut.
Namun, jika dibandingkan dengan angka pada Julai, jumlah pekerja yang bekerja meningkat sebanyak 110,000 orang, peningkatan empat bulan berturut-turut.
Keadaan pasaran pekerjaan yang semakin buruk dijangka menambah tekanan kepada kerajaan untuk menawarkan bantuan tambahan kepada syarikat kecil dan sederhana bagi mengekang kehilangan pekerjaan.
Ekonomi Jepun menguncup ke tahap terburuk sejak dalam suku kedua tahun ini didorong oleh permintaan luaran dan domestik yang merudum akibat penularan Covid-19. – AGENSI