IPO label BTS naik dua kali ganda - Utusan Malaysia

IPO label BTS naik dua kali ganda

Penyenaraian Big Hit di bursa Korea Exchange mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat kumpulan BTS. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Harga tawaran awam permulaan (IPO) syarikat pe­ngurusan label kumpulan K-Pop popular Korea Selatan BTS, Big Hit Entertainment yang membuat kemunculan pertama di bursa saham, melonjak dua kali ganda.

Ini berikutan pelabur ber­usaha memperoleh kepentingan dalam penyenaraian terbesar negara itu untuk tempoh tiga tahun.

Saham Big Hit dibuka pada harga 270,000 won (RM977.96) sesaham menjadikan nilai syarikat sekitar 9.6 trillion won (RM34.76 bilion) berbanding harga IPO asal 135,000 won (RM489.04) sesaham bulan lalu.

Saham itu melonjak sehingga 30 peratus pada awal sesi dagangan kepada 351,000 won (RM1141.09) walaupun indeks penanda aras KOSPI turun 0.3 peratus.

Kedudukan itu meletakkan Big Hit dalam landasan tepat menyertai 10 syarikat terbaik membuat kemunculan pertama dalam pasaran saham Korea Selatan berdasarkan harga selepas ditutup pada hari pertama.

Pelabur runcit Korea Selatan awal bulan ini membuat pesa­nan sehingga 58.4 trilion won (RM210 bilion) untuk saham Big Hit, hanya kurang sedikit berbanding rekod bagi penyena­raian runcit sebanyak 58.55 trilion won bagi penyenaraian Kakao Games September lalu.

Big Hit amat bergantung kepada BTS dengan kumpulan mendominasi carta Billboard itu menyumbang 87.7 peratus kepada pendapatan syarikat dalam separuh pertama 2020.

Kumpulan yang dianggotai tujuh ahli itu mempunyai rangkaian peminat seluruh dunia dengan syarikat label itu telah membuat promosi berkesan menerusi platform sosial media dan persembahan dalam talian sejak penularan pandemik Co­vid-19.

Penganalisis mengatakan syarikat itu telah membuktikan bahawa mereka mementingkan perkhidmatan dalam talian menggunakan Youtube dan media sosial bagi menembusi pasaran.

“Big Hit mempunyai model perniagaan berbeza dengan tiga syarikat K-Pop lain iaitu JYP, SM dan YG yang walaupun tidak sepenuhnya bebas daripada kesan Covid-19 tetapi mereka lebih bebas berbanding label lain,” kata penganalisis KTB Investment & Securities, Nam Hyo-Ji.

BTS mendapat anugerah Guinness World Records bagi persembahan penstriman langsung paling ramai ditonton selepas konsert dalam talian pertama mereka Jun lalu ditonton lebih 757,000 penonton di 107 negara.

Upacara penyenaraian di Korea Exchange (KRX) yang dihadiri oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Big Hit, Bang Si-Hyuk disiarkan secara langsung di saluran Youtube mereka.

Penyenaraian itu bakal me­njadikan ahli kumpulan BTS sebagai jutawan dengan masing-masing memperoleh saham sehingga 24 bilion won (RM86.86 juta) berdasarkan sesi dagangan awal. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN