KUALA LUMPUR: Indeks nilai seunit eksport merekodkan penurunan sebanyak 0.2 peratus kepada 109.7 mata pada bulan Ogos lalu berdasarkan kepada laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin kejatuhan nilai seunit eksport itu disebabkan penurunan indeks minyak galian sebanyak 2.7 peratus diikuti alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (0.6 peratus) dan bahan mentah tidak boleh dimakan yang turut menguncup 0.6 peratus.
Katanya, indeks volum eksport turut merudum 14.4 peratus kepada 135.6 mata didorong oleh penurunan indeks minyak, lemak binatang dan sayur-sayuran sebanyak 20.1 peratus.
“Penurunan itu juga turut disebabkan oleh penguncupan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan berjumlah 18.4 peratus dan minyak galian sebanyak 13.4 peratus.
“Bagi data pelarasan musim, indeks volum eksport mencatatkan penurunan 12.5 peratus kepada 134.5 mata. Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit eksport jauh 4.9 peratus manakala indeks volum eksport naik 2.1 peratus,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambah Mohd. Uzir, indeks nilai seunit import bagaimanapun merekodkan kenaikan kecil 0.1 peratus kepada 113.4 mata pada Ogos lalu berbanding bulan sebelumnya.
Hal demikian, kata Mohd. Uzir adalah disebabkan peningkatan indeks minyak galian sebanyak 1.3 peratus dan barang-barang keluaran kilang berjumlah 0.3 peratus.
Mohd. Uzir berkata, sebaliknya indeks volum import menyusut 2.3 peratus kepada 132.2 mata disebabkan kejatuhan indeks barang-barang keluaran kilang sebanyak 11.6 peratus.
“Penyusutan itu turut didorong oleh penguncupan minyak galian sebanyak 9.4 peratus dan alat jentera serat kelengkapan pengangkutan yang turun 4.4 peratus.
“Bagi data pelarasan musim, indeks volum import pada Ogos lalu menurun 2.5 peratus kepada 127.5 mata. Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan indeks volum import masing-masing mencatatkan penurunan 3.6 peratus dan 3.0 peratus,” katanya.
Dalam masa yang sama, Jabatan Perangkaan turut melaporkan bahawa terma perdagangan negara mencatatkan kejatuhan kecil iaitu 0.1 peratus kepada 96.7 mata berbanding Julai 2020. Berasaskan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia turut susut 1.4 peratus daripada 98.1 mata. – UTUSAN