Pelabur menunggu pilihan raya Presiden AS
NEW YORK: Emas meneruskan penurunan bulan ketiga berturut-turut, terburuk dan paling lama sejak 2019 susulan pelabur menunggu pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) awal November nanti.
Menurut laporan Bloomberg, ketidakpastian tetap tinggi sebelum undi penting pada 3 November, sama ada boleh memberi tarikan terhadap dolar AS itu sebagai aset selamat berbanding bullion (logam berkenaan).
Penularan Covid-19 yang terus merebak ke New York dan New Jersey, menyebabkan seluruh ekonomi utama Eropah kembali terkesan.
Sejak mencapai rekod kenaikan AS$2,075 (RM8,628.89) satu auns pada Ogos, harga emas mula merosot dan kehilangan harga momentum kenaikan menyebabkan para pelabur mempersoalkan adakah bullion telah meningkat terlalu jauh dan cepat.
Namun, Standard Chartered Bank memaklumkan, pegangan yang didagangkan di bursa masih hampir tinggi dengan latar belakang makro emas tetap menguntungkan dan mungkin akan ada lebih banyak kenaikan jika Joe Biden memenangi jawatan presiden AS dan Demokrat menguasai Senat.
Ketua Penganalisis Logam Mulia di HSBC Securities (USA) Inc, James Steel dalam nota penyelidikannya berkata, logam berharga itu akan menjadi sangat tidak stabil pada masa sekarang sehingga pemilihan presiden.
“Kenaikan sentimen risiko cenderung meningkatkan dolar AS, manakala ia melemahkan emas dan perak. Namun ia hanya akan berlaku setakat ini sahaja.
“Dengan kebimbangan kes Covid-19 yang terus meningkat dan pilihan raya akan datang, emas dan perak akan tetap tidak stabil, tetapi akan mendapat lebih banyak sokongan daripada permintaan aset selamat,” katanya.
Harga emas sedikit berubah pada AS$1,865.54 (RM7757.85) satu auns di Singapura, setelah mencatat penutupan terendah sejak 25 September pada Khamis.
Setakat bulan ini, emas kehilangan 1.1 peratus, perak naik 0.2 peratus, platinum meningkat 0.5 peratus manakala paladium naik 0.6 peratus. – AGENSI