KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menganggarkan tidak lebih 15 peratus peminjam isi rumah yang mungkin berhadapan kesukaran membuat pembayaran semula pinjaman selepas moratorium secara automatik tamat hujung bulan lalu.
Bank pusat dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan-Separuh Pertama 2020 memberitahu, kira-kira satu peratus daripada 15 peratus peminjam yang mempunyai hutang isi rumah tertunggak sebanyak tiga peratus dijangka gagal membayar setelah mengambil kira bantuan pembayaran semula secara bersasar dan penampan kewangan masing-masing.
Katanya, kira-kira 40 peratus daripada jumlah itu adalah hutang perumahan dengan purata nilai kepada pinjaman (LTV) berjumlah 70 peratus sekali gus mengehadkan pendedahan kewangan peminjam terjejas dan merugikan sistem perbankan.
“Seperti yang telah dijelaskan dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019, peminjam yang mempunyai ekuiti positif dijangka tidak mengalami masalah pembayaran semula pinjaman perumahan.
“Bagi isi rumah yang mempunyai pendapatan dan penampan kewangan rendah, inisiatif sokongan pendapatan kekal penting bagi mengelakkan kesukaran kewangan akan datang,” katanya.
Menurut BNM, moratorium pinjaman secara automatik sememangnya memberi kelegaan kewangan sementara kepada banyak isi rumah terutama yang kehilangan pekerjaan dan mengalami pengurangan pendapatan.
BNM menjelaskan, hampir 90 peratus peminjam isi rumah dengan 87 peratus daripadanya mempunyai tunggakan pinjaman dan memilih menangguhkan pembayaran pinjaman untuk mendapatkan fleksibiliti lebih besar aliran tunai sewaktu tempoh tidak menentu.
“Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, semakin ramai peminjam mula membuat pembayaran semula pinjaman selepas prospek pekerjaan dan pendapatan lebih tinggi.
“Sebilangan besar peminjam yang baru-baru ini memilih untuk tidak melanjutkan moratorium pinjaman juga adalah mereka yang mempunyai pinjaman lebih besar tetapi memperoleh pendapatan melebihi RM5,000 sebulan.
“Berdasarkan 70 peratus hutang isi rumah terdiri daripada kadar faedah berubah-ubah, kemudahan hutang selepas moratorium akan disokong oleh tanggungjawab hutang bulanan yang lebih rendah susulan pemotongan kadar dasar semalaman (OPR) sepanjang tahun,” katanya.
Dalam pada itu, BNM memaklumkan, pasaran hartanah kediaman jatuh pada separuh pertama 2020 manakala hartanah bukan kediaman mengalami kadar kekosongan di atas purata dan penurunan hasil sewa. – UTUSAN