Halal jawapan kepada cabaran ekonomi baharu - Utusan Malaysia

Halal jawapan kepada cabaran ekonomi baharu

MUSTAPA Mohamed melancarkan Persidangan Halal Sedunia 2020 anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong (kanan) dan Pengerusi HDC, Datuk Mahmud Abbas. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri halal adalah jawapan tepat kepada cabaran ekonomi baharu yang muncul akibat krisis pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada seluruh rantaian bekalan ekonomi dunia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, halal bukan sahaja berkenaan makanan dan minuman yang dibenarkan dalam Islam sebaliknya merangkumi pelbagai produk serta perkhidmatan termasuk kesihatan, ubat-ubatan, kosmetik dan kewangan.

“Halal, yang mengambil kira semua yang dibenarkan dan selamat, merangkumi segala nilai sejagat yang baik dan menyeluruh yang wujud.

“Daripada kemampanan untuk mengembalikan kesihatan orang ramai dan planet, keprihatinan terhadap binatang dan alam sekitar, perdagangan yang adil, kepenggunaan beretika; halal adalah jawapan tepat untuk bagaimana kita mampu mengurus kesan-kesan langsung krisis Covid-19 dan keluar daripadanya dalam keadaan yang lebih baik dan kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam Persidangan Halal Sedunia 2020 (WHC2020) yang diadakan secara hibrid di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Dalam ucapan itu, Muhyiddin turut menegaskan kesediaan Malaysia untuk memimpin industri halal dunia dengan pengalaman dan kepakaran negara yang diiktiraf dunia.

Kata beliau, kerajaan telah menggariskan beberapa strategi untuk mengatasi cabaran sedia ada untuk terus menguasai ekonomi halal dalam persekitaran digital yang semakin kompleks.

“Secara keseluruhannya terdapat 43 inisiatif di bawah tujuh teras strategik yang menggariskan arah tuju jelas serta objektif dengan kepatuhan syariah telah diletakkan dalam kita menuju ke arah ekonomi digital.

“Kerajaan penuh komited untuk membangunkan ekosistem industri yang komprehensif dan untuk industri halal merebut peluang-peluang baharu melalui pengadaptasian proses pembuatan bijak yang akan meningkatkan keberkesanan dan fleksibiliti penghasilan selain secara radikal mengubah rantaian nilai serta model perniagaan sedia ada,” katanya.

WHC2020 memasuki edisi ke-12 tahun ini dan persidangan tahunan anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) ini terpaksa dilakukan secara kombinasi maya dan fizikal berikutan sekatan perjalanan antarabangsa akibat pandemik Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya