DETROIT: Pengeluar kereta Amerika Syarikat (AS), General Motors Co. (GM) dijangka mengumumkan pelaburan besar bagi memperluas pengeluaran kenderaan elektrik di kilang terletak di Spring Hill, Tennessee dan lokasi berpotensi lain.
GM dalam satu kenyataan semalam berkata, ia bakal membuat pengumuman berkaitan pelaburan pembuatan utama AS itu dalam waktu terdekat.
Menurut Reuters yang memetik The Detroit News, pengeluar kereta itu merancang memulakan operasi membina kenderaan utiliti sukan (SUV) Cadillac Lyriq elektrik di kilangnya di Tennessee.
AutoForecast Solutions yang mengikuti perancangan pengeluaran industri menjangkakan Lyriq bakal dilancarkan pada akhir 2022.
AutoForecast turut menjangka GM mengumumkan bahawa pengeluaran beberapa model kenderaan elektriknya dilaksanakan di kilang syarikat itu di Mexico.
Rancangan pelaburan pengeluar kenderaan itu hadir dalam tempoh dua minggu lagi sebelum Pilihan Raya Presiden AS dengan Donald Trump dan pesaingnya dari Parti Demokrat, Joe Biden berusaha mendapatkan sokongan daripada pekerja sektor automotif di negeri yang terletak di wilayah Midwestern.
Ketua Eksekutif GM, Mary Barra sebelum ini telah mengeluarkan rancangan untuk melabur AS$20 bilion (RM82.91 bilion) dalam teknologi bateri dan kenderaan elektrik baharu.
GM turut merancang membelanjakan AS$2.5 bilion (RM10.36 bilion) untuk merombak dan membina semula kilang Detroit-Hamtramck bagi menghasilkan trak pikap elektrik GMC Hummer EV iaitu sebuah roboteksi automatik dan kenderaan lain.
Kilang tersebut telah dinamakan semula secara rasmi sebagai Factory Zero, Jumaat lalu merujuk kepada hasrat Barra bagi ‘tiada kemalangan, tiada pelepasan dan tiada pencemaran’.
Ketika ini, GM sedang membina model Chevrolet Bolt elektriknya di kilang pemasangan besar yang terletak di pinggir bandar utara Detroit.
Pada masa sama, GM turut melabur dalam trak pikap menggunakan petrol dan SUV dengan sebahagian besar keuntungan diperlukan oleh pengeluar kenderaan itu bagi membiayai program kenderaan elektriknya. – AGENSI