KUALA LUMPUR: Gardenia Bakeries KL Sdn. Bhd. (Gardenia KL) akan menyumbang 13,200 unit produk bernilai RM37,500 kepada 10 organisasi kebajikan mulai Oktober sehingga April tahun hadapan.
Produk yang disumbangkan sempena sambutan Hari Roti Sedunia itu merangkumi 12,375 buku roti Gardenia Origina Classic dan 825 unit kaya Auntie Rosie Gardenia.
Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun berkata, sumbangan itu bagi menghargai kakitangan dan sukarelawan yang memikul tugas berat dalam memastikan dana dan barangan keperluan dapat terus disampaikan kepada golongan memerlukan.
“Gardenia berhasrat membantu meringankan serba sedikit beban itu dengan menyumbangkan bekalan roti sepanjang tempoh enam bulan.
“Komuniti adalah cukup penting buat Gardenia dan kami berbesar hati untuk memeriahkan perayaan Hari Roti Sedunia bersama mereka,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurut Gardenia KL, sumbangan itu akan disampaikan secara berterusan sebanyak dua kali seminggu sepanjang tempoh enam bulan.
Hari Roti Sedunia disambut pada 16 Oktober setiap tahun bagi memperingati ulang tahun penubuhan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) yang diasaskan pada 1945 bagi mengatasi isu kelaparan.
Penerima sumbangan tersebut termasuk Pertubuhan Nur Kasih Klang, Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Ar-Raudhah Malaysia, Rumah Amal Baitul Barokah Wal Mahabbah, Pusat Jagaan Kasih Abadi, Rumah Kebajikan Misi Harapan, Persatuan Kebajikan Darul Hanan serta Rumah Anak Yatim dan Miskin Nur Iman, selain kepada masyarakat orang asli di Rumah Haknuk Jenang di Raub, Pahang.
Selain itu, Gardenia KL turut menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan menghulurkan sumbangan 600 pek Krim Rol Gardenia Delicia dan 600 Roti Ban Sambal Bilis kepada penduduk yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di asrama Tropicana.
“Gardenia sentiasa bersama para pengguna dan komuniti di saat senang mahupun susah. Di masa yang penuh cabaran dan ketidaktentuan ini, marilah kita saling menyokong dan membantu antara satu sama lain dalam apa cara sekalipun,” kata Hazlinah. – UTUSAN