ROME: Syarikat pembuat kereta Itali-Amerika Syarikat (AS), Fiat Chrysler dan syarikat terkemuka Perancis, Peugeot mengumumkan ahli lembaga pengarah (BOD) bagi Stellantis iaitu syarikat yang akan dilancarkan tahun depan apabila kedua-dua syarikat itu menyelesaikan proses penggabungan.
Menurut laporan agensi berita Xinhua, Presiden Fiat Chrysler, John Elkann akan dilantik menjadi Presiden bagi syarikat baharu itu manakala Ketua Peugeot, Carlos Tavares bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Stellantis.
Kedua-dua syarikat juga masing-masing akan mempunyai empat wakil daripada 11 anggota lembaga pengarah dengan jawatan terakhir iaitu pengarah bebas diisi oleh bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif AXA, Henri de Castries yang dilantik Peugeot.
Penggabungan bernilai AS$50 bilion (RM208.12 bilion) yang pertama kali diumumkan tahun lalu disekat oleh penularan pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi. Ia dijangka selesai pada separuh pertama 2021.
Berdasarkan angka daripada Organisasi Pengilang Kenderaan Bermotor Antarabangsa, Stellantis akan menjadi pengeluar kenderaan keempat terbesar dunia selepas penggabungan tersebut.
Stellantis akan membawa kelebihan kepada kedua-dua syarikat menerusi rangkaian masing-masing.
Menurut penganalisis, rangkaian Fiat Chrysler di AS akan memberi Peugeot akses lebih besar ke pasaran itu sementara Peugeot akan memberi Fiat lebih banyak akses ke pasaran China dan Asia.
Peugeot juga disifatkan mempunyai teknologi lebih maju berbanding Fiat Chrysler dalam pengembangan kereta elektrik.
Awal tahun ini, Tavares mengatakan penstrukturan semula strategi syarikat baharu di pasaran China menjadi keutamaan syarikat itu.
Menurut angka dalaman syarikat, Fiat Chrysler dan Peugeot menjual kira-kira 210,000 kenderaan di pasaran China tahun lalu. – AGENSI