KUALA LUMPUR: FGV Holdings Berhad (FGV) kecewa dengan tindakan Amerika Syarikat (AS) melarang import minyak sawit ke negara itu atas alasan membabitkan tenaga buruh paksa.
Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) dilaporkan telah melaksanakan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) yang menyekat semua produk FGV, anak syarikat dan syarikat kerjasamanya (JV) bermula kelmarin apabila siasatan mendapati terdapat penggunaan buruh paksa.
Dalam reaksinya, FGV menegaskan, syarikat telah mengambil beberapa langkah untuk membetulkan keadaan yang didokumentasikan dan tersedia di domain awam, selepas isu-isu dibangkitkan menjadi bahan wacana umum sejak 2015.
“FGV kecewa kerana keputusan tersebut dibuat sedangkan FGV telah mengambil langkah konkrit dalam beberapa tahun kebelakangan ini bagi mengukuhkan komitmennya dalam menghormati hak asasi manusia serta menjunjung tinggi standard pekerja,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Jelas FGV lagi, usha-usaha yang dijalankan syarikat itu termasuk:
• Terus memperkasa prosedur dan proses pegambilan pekerja migran. Bagi tujuan itu, FGV telah menubuhkan empat Pusat Sehenti di Malaysia dan di negara sumber seperti India dan Indonesia.
• Menerapkan Prosedur dan Garis Panduan pengambilan pekerja migran yang bertanggungjawab pada 2019 sesuai dengan standard antarabangsa dan akan terus mempertingkatkan kandungan dokumen tersebut.
• Tidak terlibat dalam pengambilan atau menggaji pelarian.
• Menjadi perintis pelaksanaan pembayaran tanpa tunai secara dompet elektronik bagi pekerja-pekerja ladang.
• Tidak mengamalkan penyimpanan pasport pekerja, malah telah menyediakan sebanyak 32,250 peti simpanan pasport di 68 kompleks sebagai pilihan kepada pekerja untuk menyimpan pasport mereka dengan selamat.
• Melabur hampir RM350 juta dalam tempoh tiga tahun ini bagi menaik taraf kemudahan perumahan dengan membina kediaman baharu di ladang-ladang.
• Menghormati hak pekerja terhadap kesihatan menerusi manfaat yang disediakan.
• Menerapkan Kod Tatalaku dan Amalan Pembekal (SCOC).
“FGV mengulangi pendirian untuk tidak bertolak ansur dengan mana-mana pelanggaran hak asasi manusia atau kesalahan jenayah di dalam operasinya.
“FGV memandang serius terhadap mana-mana dakwaan keganasan fizikal atau seksual mahupun intimidasi atau ancaman. Sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, sebarang tindakan tersebut akan diambil tindakan termasuk melaporkannya kepada pihak berkuasa,” kata syarikat itu.
Sehingga Ogos lalu, FGV mempunyai 11,286 pekerja Indonesia dan 4,683 pekerja India serta tidak mengambil pekerja kontrak.
Jelas FGV lagi, syarikat itu telah berhubung dengan CBP menerusi penasihat undang-undang dan telah mengemukakan bukti-bukti pematuhan standard perburuhan seperti dijanjikan.
“FGV akan terus meneruskan sesi libat urus dengan CBP bagi membersihkan nama,” katanya.
Sebelum ini, AS dilaporkan telah mengenakan sekatan ke atas produk pembuat sarung tangan getah terbesar di dunia iaitu Top Glove Corp. Bhd. (Top Glove) pada Julai lalu atas alasan sama. – UTUSAN