KUALA LUMPUR: FGV Holdings Berhad (FGV) dalam proses melantik organisasi bebas bagi menjalankan audit sebagai sebahagian langkah untuk membatalkan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) yang dikeluarkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).
Menurut FGV, pelantikan firma audit itu akan selesai dalam tempoh beberapa minggu lagi.
“FGV komited dalam mengambil langkah-langkah wajar untuk membatalkan WRO.
“FGV mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada CBP atas kesediaannya untuk membincangkan perkara ini dengan FGV, dan FGV berharap dapat meneruskan perhubungan dengan CBP,” kata syarikat itu dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 30 September lalu, CBP mengeluarkan WRO terhadap minyak sawit dan produk sawit keluaran FGV atas dakwaan syarikat itu menggunakan buruh paksa dan potensi penggunaan buruh kanak-kanak dalam pengeluaran produk sawitnya.
Sehingga Ogos lalu, FGV mempunyai 11,286 pekerja Indonesia dan 4,683 pekerja India serta tidak mengambil pekerja kontrak.
Pada 2019 juga, FGV telah menerima petisyen daripada gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengandungi beberapa tuduhan berkaitan.
Menurut Lembaga Pengarah FGV, syarikat itu telah berkomunikasi dengan CBP melalui panggilan persidangan pada 8 Oktober untuk mendapatkan penjelasan tentang hasil siasatan jabatan itu serta langkah-langkah yang harus diambil oleh FGV untuk pembatalan WRO.
Walau bagaimanapun, menurut mereka, CBP tidak dapat mendedahkan maklumat yang ditemui kecuali hasil siasatannya yang telah mengenal pasti 11 indikasi Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai buruh paksa dalam amalan syarikat FGV.
“CBP tidak mendedahkan sebarang maklumat lain mengenai hasil siasatannya termasuk sifat atau lokasi kejadian yang berkaitan dengan indikasi-indikasi tersebut.
“CBP memaklumkan kepada FGV bahawa ia akan mempertimbangkan petisyen untuk pembatalan WRO bersama-sama dengan maklumat atau laporan yang terhasil dari audit oleh firma audit pihak ketiga yang boleh dipercayai dan tidak menyebelahi mana-mana pihak,” katanya. – UTUSAN