PUTRAJAYA: FGV Holdings Berhad (FGV) disaran untuk menerokai pasaran eksport baharu di banyak negara lain yang lebih berpotensi besar termasuk di benua Afrika dan rantau Asia Tengah.
Inisiatif itu antara usaha disarankan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ekoran isu dakwaan Amerika Syarikat (AS) ke atas FGV kononnya firma itu mengamalkan buruh paksa.
Menterinya, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali turut menyarankan pihak industri minyak sawit mentah (MSM) untuk giat mencari permintaan di negara lain.
“Ini termasuk FGV terus meneroka pasaran baharu dengan memfokuskan eksport ke negara-negara berpotensi di benua Afrika seperti Nigeria selain rantau Asia Tengah dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Namun tambahnya, usaha itu perlu mengambil kira situasi pandemik Covid-19 pada masa ini ekoran ada negara tertentu yang mungkin bersedia meningkatkan import MSM bagi memenuhi permintaan domestik.
Kenyataan itu diterbitkan susulan kunjungan pegawai kanan pengurusan FGV ke atas Khairuddin diketuai Ketua Pegawai Komunikasi Strategik Kumpulan, Datuk Najmuddin Abdullah baru-baru ini.
Media sebelum ini melaporkan eksport MSM Malaysia ke benua Afrika dijangka naik kepada sembilan juta tan sepanjang tahun ini berbanding rekod hanya enam juta tan pada dekad lalu.
Permintaannya melonjak berikutan penggunaan minyak makanan diproses semakin meningkat pada kadar pesat dan ketika ini Indonesia masih mengatasi Malaysia sebagai pengeskport terbesar MSM.
Bagaimanapun, Malaysia ketika ini bersaing bagi menguasai pasaran di benua itu ekoran Indonesia mula kurang eksport apabila Kenya, Tanzania, Ghana, Habsyah dan Djibouti mula jadi pasaran berpotensi.
Mengulas lanjut, Khairuddin memaklumkan bahawa pertemuan itu banyak membicangkan isu perihal dakwaan AS ke atas FGV selain perkembangan terkini pembangunan industri sawit seluruh Malaysia.
“Bagi kukuhkan lagi komitmen kerajaan, tiada lagi pengambilan baharu pekerja asing pada masa ini dan isu buruh paksa tersebut merupakan kes lama telah diambil tindakan pihak industri,” katanya.
Khairuddin mengakui AS merupakan pasaran penting dan penyumbang terbesar pendapatan eksport MSM, tetapi dengan isu panas sejak kebelakangan ini, KPPK sedia pertimbang tindakan sewajarnya. – UTUSAN