CALIFORNIA: Facebook melarang dan memberi amaran kepada para penyelidik untuk menghentikan pengumpulan data melalui aplikasi itu menggunakan alat yang dibangunkan oleh Universiti New York (NYU).
Menurut laporan CNN Business, Facebook sedang berusaha meneliti hasil kerja penyelidik NYU yang telah memainkan peranan dalam menarik perhatian bagi menyasarkan iklan berbentuk politik.
Para penyelidik mengumpulkan maklumat dan data mengenai jenis iklan politik yang boleh dilihat oleh pengundi Amerika Syarikat (AS) di platform tersebut.
Menerusi surat bertarikh 16 Oktober lalu yang ditandatangani oleh Allison Hendrix dari bahagian dasar privasi dan data syarikat itu, FB turut memohon para penyelidik untuk menghapuskan semua data yang mereka kumpulkan melalui alat berkenaan.
Pelajar peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam sains komputer di NYU dan penyelidik utama projek itu, Laura Edelson menyatakan, pasukannya telah mencipta alat yang menyediakan analisis mengenai amalan pengiklanan politik di FB bagi mendapatkan sokongan pengundi.
Alat tersebut membolehkan pengguna Facebook berkongsi data mereka secara sukarela dengan penyelidik NYU.
Profesor di NYU, Damon McCoy berkata, pengumpulan data Facebook yang meluas pada penggunanya memungkinkan pengiklan membuat profail pengguna dan berkongsi maklumat yang salah mengenai calon dan polisi yang dirancang untuk mempengaruhi suara mereka.
“Menghentikan sumber data utama yang akan mengganggu dan manipulasi pilihan raya pada November ini, selain menghalang usaha kami untuk melindungi proses demokrasi,” katanya.
Bagaimanapun, jurucakap Facebook, Joe Osborne berkata, syarikat itu memberitahu NYU pada bulan lalu bahawa membangun atau membina alat berkenaan adalah melanggar syarat perkhidmatan syarikat.
Facebook mempunyai peraturan yang boleh menyekat pihak ketiga untuk mengumpul data di platform berkenaan.
Osborne menjelaskan, Facebook telah membina alatnya sendiri untuk membolehkan orang ramai dan para penyelidik mengakses maklumat mengenai iklan politik.
NYU juga dilaporkan telah menggunakan beberapa alat di Facebook dalam menjalankan penyelidikannya. – AGENSI