KUALA LUMPUR: Etiqa Life Insurance Bhd. dan Etiqa Family Takaful Bhd. telah memanjangkan tempoh manfaat bantuan sebanyak RM5,000 yang disediakan untuk pemegang polisi individu dan pemegang sijilnya ekoran lonjakan jumlah kes Covid-19 di Malaysia.
Lanjutan bantuan kewangan itu adalah untuk pemegang polisi individu dan pemegang sijilnya yang didiagnosis Covid-19 oleh mana-mana hospital yang dikenalpasti oleh Kementerian Kesihatan berkuat kuasa serta-merta sehingga 31 Disember 2020.
Bantuan kewangan itu bagaimanapun tidak terpakai untuk polisi atau sijil berkumpulan dengan mereka yang layak hanya boleh menuntut manfaat itu sekali sahaja bagi setiap pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Life Insurance, Paul Low dan Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful, Zafri Ab. Halim dalam kenyataan bersama berkata, Etiqa merasa terpanggil untuk terus membantu meringankan beban pesakit Covid-19 dengan menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM5,000.
“Selain itu, kami turut menggesa agar semua orang memainkan peranan dalam memastikan virus ini tidak menjangkiti lebih ramai lagi dan meratakan lengkungan jangkitan.
“Hal demikian boleh dilakukan dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta mencuci tangan atau menggunakan pembasmi kuman dengan kerap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk maklumat lanjut tentang bantuan kewangan RM5,000 untuk pemegang polisi individu Etiqa Life Insurance Bhd. dan pemegang sijil Etiqa Family Takaful Bhd. dengan melayari www.etiqa.com.my. – UTUSAN