Ekuinas jual pegangan dalam Coolblog - Utusan Malaysia

Ekuinas jual pegangan dalam Coolblog

Penjualan Coolblog merupakan sebahagian daripada strategi pelaburan berhemah Ekuinas untuk menjamin kadar pulangan dalaman yang positif. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) mengumumkan pelupusan keseluruhan kepentingan ekuitinya sebanyak 60 peratus dalam syarikat pencuci mulut dan minuman tempata, Coolblog Apps Sdn. Bhd. (Coolblog).

Penjualan itu melibatkan nilai ekuiti berjumlah RM75 juta kepada firma pelaburan ekuiti persendirian yang melabur dalam pasaran syarikat kecil hingga pertengahan di Asia Tenggara, Archipelago Capital Partners (Archipelago).

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd. Kadir berkata, pelaburannya dalam Coolblog telah mencapai tahap matang untuk dilupuskan dengan Ekuinas telah melaksanakan pelan penciptaan nilai buat syarikat tersebut.

Katanya, penjualan itu juga merupakan sebahagian daripada strategi pelaburan berhemah untuk menjamin kadar pulangan dalaman (IRR) yang positif sejajar dengan langkah melupuskan aset-aset di bawah Ekuinas Direct (Tranche II) Fund.

“Berdasarkan rekod pencapaian cemerlang mereka dalam industri barangan pengguna laris (FMCG), pengalaman dalam ruang niaga perniagaan-ke-pengguna (B2C) dan juga kepakaran dalaman dalam sektor makanan dan minuman (F&B), Archipelago telah dipilih.

“Pemilihan Archipelago juga diyakini sebagai rakan pelaburan tepat untuk memajukan dan mempercepatkan prestasi Coolblog. Kami berbesar hati untuk Archipelago mengambil alih pengendalian pertumbuhan Coolblog di Malaysia dan seluruh rantau ini,” katanya dalam kenyataan.

Pelupuasan kepentingan itu telah menjana IRR sebanyak 6.4 peratus yang bersamaan 1.4 kali modal dilaburkan dengan sepanjang tempoh pelaburan, Ekuinas telah berjaya menyempurnakan pelan penciptaan nilai untuk Coolblog.

Menurut Ekuinas, fokus utama dalam pelan tersebut merangkumi perkemasan proses operasi dan sistem, pengembangan cawangan korporat dan penembusan ke segmen pasaran massa baharu di samping peningkatan dalam penawaran produk serta strategi pemasaran.

Disasarkan pada pasaran massa Malaysia, Coolblog adalah satu daripada jenama terkemuka dalam pasaran kiosk pencuci mulut dan minuman dengan lebih 270 cawangan di Malaysia yang menawarkan lebih 25 perisa dan 300 produk berbeza.

Ekuinas memulakan pelaburan di Coolblog pada tahun 2014 dan perniagaan tersebut telah menunjukkan trajektori pertumbuhan sihat yang disokong rekod pencapaian terbukti berkesan.

Hasil jualan meningkat daripada RM34 juta kepada RM46.9 juta dari tahun kewangan 2017 hingga tahun kewangan 2019 dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 17.4 peratus.

Peningkatan jualan itu dirodong oleh pertumbuhan dan prestasi cawangan yang lebih kukuh seluruh negara diiringi dengan penawaran produk yang inovatif dan berjaya.

Selama beberapa tahun Ekuinas telah bekerjasama dengan Coolblog dalam membantu usahawan dan bumiputera tempatan menjadi pemilik perniagaan dan mencipta pendapatan mampan melalui model francais Coolblog.

Sehingga pertengahan Jun 2020, Coolblog mempunyai 195 pemegang francais dengan 109 daripadanya adalah milik bumiputera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya