SINGAPURA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura dilaporkan susut sebanyak tujuh peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2020, peningkatan daripada penguncupan 13.3 peratus dalam suku kedua.
Menurut laporan Bernama, bagi perbandingan suku ke suku tahunan yang diselaraskan, ekonomi Singapura berkembang 7.9 peratus, melonjak daripada 13.2 peratus penyusutan dalam suku sebelumnya.
Kedudukan ekonomi itu adalah berdasarkan kepada anggaran awal yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu semalam.
Anggaran KDNK untuk suku ketiga tahun ini sebahagian besarnya dikira berdasarkan data dalam dua bulan pertama suku tersebut iaitu pada Julai dan Ogos 2020.
Dapatan itu dikira sebagai petunjuk awal pertumbuhan KDNK dan bergantung kepada perubahan apabila data yang lebih komprehensif tersedia kelak.
Menurut MTI, prestasi ekonomi yang lebih baik dalam suku ketiga itu hadir selepas pembukaan semula ekonomi secara berperingkat setelah pelaksanaan perintah pergerakan yang dilaksanakan pada 1 April hingga 1 Jun lalu.
Mengenai prestasi setiap sektor, MTI mengatakan sektor pembuatan tumbuh dua peratus dalam suku ketiga berbanding penguncupan 0.8 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan sektor tersebut disokong oleh pengembangan output dalam kluster kejuruteraan ketepatan dan elektronik yang sekali gus mendorong permintaan global tinggi bagi peralatan pembuatan semikonduktor.
Sektor pembinaan, bagaimanapun menyusut 44.7 peratus dalam suku ketiga sekali gus meneruskan penurunan yang dicatatkan dalam suku kedua iaitu sebanyak 59.9 peratus.
Keluaran sektor pembinaan dalam suku ketiga kekal lemah kerana penyambungan semula aktiviti pembinaan yang perlahan disebabkan langkah pengurusan selamat yang perlu dititikberatkan syarikat pembinaan.
Sementara itu, industri penghasilan perkhidmatan sedikit meningkat apabila menguncup lapan peratus dalam suku ketiga berbanding 13.6 peratus pada suku sebelumnya.
Kementerian itu memberitahu, sektor perkhidmatan seperti penerbangan dan pelancongan termasuk pengangkutan udara serta penginapan terus mengalami penguncupan ketara ekoran sekatan perjalanan global dan permintaan perjalanan yang perlahan sekali gus menjadikan perjalanan udara dan kedatangan pelancong hampir tiada.
Walau bagaimanapun, sektor kewangan dan insurans serta komunikasi maklumat mencatat pertumbuhan stabil dalam tempoh berkenaan.
MTI akan melancarkan unjuran KDNK awal untuk suku ketiga termasuk prestasi mengikut sektor, sumber pertumbuhan, inflasi, pekerjaan dan produktiviti dalam Kajian Ekonomi Singapura pada November depan. – AGENSI