Covid: Shell rancang buang 9,000 pekerja - Utusan Malaysia

Covid: Shell rancang buang 9,000 pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Royal Dutch Shell merancang untuk membuang 7,000 ke 9,000 pekerja yang merangkumi 10 peratus daripada tenaga kerjanya menjelang 2022 disebabkan pandemik Covid-19.

Ia juga adalah satu daripada strategi syarikat itu untuk terus selari dengan peralihan global ke arah penggunaan tenaga bersih.
Syarikat itu yang mempunyai 83,000 pekerja pada hujung tahun lalu dijangka menjimatkan kira-kira AS$2.5 bilion (RM10.37 bilion) dengan rancangan itu.

Rancangan itu dibuat selepas syarikat minyak terbesar Eropah itu bersedia untuk melabur lebih banyak dalam tenaga rendah karbon sementara terus bertahan menghadapi kejatuhan pasaran akibat Covid-19 yang mengurangkan permintaan minyak.

“Ini satu proses yang sangat sukar. Sangat menyakitkan untuk akhirnya sedar yang kami perlu ucap selamat tinggal kepada beberapa pekerja yang baik.

“Namun, kami melakukannya kerana ia satu keperluan, ia tindakan yang betul untuk masa hadapan syarikat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Shell, Ben Van Beurden (gambar).

Shell tidak memperincikan rancangannya untuk mendapatkan penjimatan melalui ubah suai korporat kepada pelabur tetapi Van Beurden berkata, sebahagian besarnya adalah melalui pengurangan kakitangan.

Kata beliau, ia akan melibatkan pelbagai lapisan pengurusan.

“Kami telah meneliti bagaimana organisasi kami dibentuk dan kami merasakan, dalam banyak tempat, terlalu banyak lapisan dalam syarikat. Terlalu banyak tahap antara saya sebagai ketua pegawai eksekutif dengan operator dan juruteknik di lokasi,” katanya.

Penjimatan lain mungkin datang daripada trend baharu yang muncul selepas pandemik seperti kerja secara maya, kurangkan perjalanan dan kebergantungan rendah terhadap kontraktor.

Menurut syarikat itu, perniagaan huluan seperti penerokaan dan pengekstrakan bahan api fosil akan terus kritikal walaupun mereka melabur lebih dalam tenaga bersih untuk mendatangkan aliran tunai yang kukuh kepada syarikat.

Mereka turut merancang untuk mengembangkan perniagaan gas asli cecair tetapi akan terus mengecilkan kapasiti kilangnya.
Rancangan untuk mengecilkan perniagaan akan dilaksanakan selepas awal tahun ini, syarikat itu memotong kadar dividen buat pertama kali sejak penghujung perang dunia ke­dua dan mendedahkan kerugian bersih sebanyak AS$18.3 bilion (RM75.89 bilion) untuk suku kedua 2020 apabila harga minyak dunia jatuh ke tahap terendah akibat Covid-19.

“Shell perlu menjadi organisasi yang lebih ringkas, kemas dan kompetitif serta le­bih tangkas dan mampu bertindak balas terhadap kehendak pe­langgan,” kata Van Beurden. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya