Bergantung kad kredit - Utusan Malaysia

Bergantung kad kredit

Kemudahan berhutang Beli Dulu Bayar Kemudian (BNPL) meletakkan ramai golongan belia dalam risiko mulis.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tiada simpanan, sentiasa risau tidak cukup wang

 

KUALA LUMPUR: Kaji selidik yang dijalankan platform celik kewangan Multiply mendapati, rakyat Malaysia paling lemah dalam merancang belanjawan dan menyimpan wang.

Kaji selidik itu mendapati, sebanyak 41 peratus daripada 3,333 responden menyatakan bahawa mereka tidak mampu hidup selesa dengan gaji bulanan dan sentiasa risau tidak cukup wang untuk kelangsungan hidup sehingga mendapat gaji seterusnya.

“Sementara itu, enam peratus lagi bergantung kepada kad kredit untuk menampung kekangan wang setiap bulan, manakala 48 peratus mengakui mereka tiada wang simpanan untuk kecemasan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kajian itu mendapati, seramai hampir 70 peratus daripada responden memerlukan soko­ngan untuk meningkatkan tahap celik kewangan masing-masing.

Sebanyak 21 peratus responden tergolong dalam ka­tegori ‘Baru Belajar’ iaitu mereka yang tidak mempunyai pengetahuan asas kewangan peribadi, manakala 48 peratus lagi dalam kategori ‘Kadet Kewangan’ iaitu masih di peringkat awal pe­nguasaan ilmu asas kewangan peribadi.

“Kaji selidik menunjukkan hanya 31 peratus boleh dianggap sebagai ‘Bos Duit’ yang menunjukkan seseorang itu memahami konsep kewangan asas dengan baik,” katanya.

Multiply berkata, 2020 sememangnya tahun mencabar daripada segi kewangan peribadi dan tidak menghairankan ramai rakyat Malaysia gusar tentang kedudukan kewangan mereka.

“Namun, kami berasa lega apabila hasil kaji selidik mendapati, tidak semuanya membimbangkan kerana seramai 53 peratus daripada responden merancang belanjawan awal, 31 peratus memiliki insurans asas sebagai perlindungan jika kenderaan terlibat dalam kemalangan dan 52 peratus mempunyai wang simpanan yang boleh digunakan sekiranya perlu,” katanya.

Hasil kaji selidik itu turut menunjukkan bahawa tahap pemahaman rakyat Malaysia tentang penggunaan pelbagai produk dan instrumen kewa­ngan masih rendah.

Menurut Multiply, seramai 32 peratus responden mengatakan mereka lebih suka menyimpan dalam akaun simpanan biasa berbanding mencari peluang pelaburan untuk menjana pulangan lebih tinggi.

“Tanpa memiliki kemahiran pengurusan kewangan, mereka yang mempunyai wang simpanan lebih suka mengambil jalan selamat dengan hanya membiarkan wang mereka dalam akaun simpanan walaupun ia kurang menguntungkan memandangkan kadar faedah amat rendah pada masa ini.

“Ternyata pengetahuan rak­yat Malaysia tentang bagaimana wang boleh bekerja untuk kita melalui dana, pelaburan serta produk kewangan lain masih berada di peringkat asas,” katanya.

Multiply telah ditubuhkan oleh firma ekuiti swasta, Creador melalui cabang bukan keuntungan, Creador Foundation dengan matlamat meningkatkan tahap celik kewangan rak­yat Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya