Barat mahu selamat produk mereka - Utusan Malaysia

Barat mahu selamat produk mereka

Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kempen anti-sawit dijangka berterusan

KUALA LUMPUR: Potensi besar minyak sawit akan menjadikan komoditi itu sasaran berterusan negara Barat pada masa hadapan.

Perkara ini dapat dilihat apabila negara Barat terus melancarkan kempen anti-sawit dan memburuk-burukkan minyak sawit, di sebalik pelbagai sesi penerangan dan kajian santifik mengenai kebaikan produk-produk sawit kepada kesihatan.

Terbaharu, industri minyak sawit dikaitkan dengan buruh kanak-kanak dan buruh paksa sehingga mendorong Amerika Syarikat mengenakan sekatan eksport minyak sawit dari negara ini.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, kempen anti-sawit yang berlaku di Eropah adalah disebabkan tindakan negara kesatuan itu mahu mempertahankan ekonomi dan produk-produk pertanian mereka.

Beliau berkata, di Eropah, kerajaan di sana banyak memberikan subsidi untuk pengeluaran minyak soya dan minyak matahari yang jauh lebih mahal berbanding minyak sawit.

“Kos mengeluarkan minyak sawit lebih rendah disebabkan pengeluaran minyak sawit lapan kali lebih tinggi berbanding soya. Keadaan itu menyebabkan ada pihak tidak berpuas hati dan mahu melindungi masa depan industri dan petani mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama media di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ramle Moslim.

Ahmad Parveez berkata, MPOB akan terus meningkatkan kempen penerangan bagi menangkis segala tohmahan yang dilemparkan ke atas industri sawit yang merupakan antara pe­nyumbang utama ekonomi negara.

Malah katanya, kajian menyeluruh situasi buruh di sektor perladangan telah dijalankan bersama Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan dapatannya akan diumumkan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi nanti.

“Yang lebih penting bila keluar laporan ialah, apa tindakan lanjut sebagai maklum balas (kepada dapatan laporan itu),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya