KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan bahawa sektor perbankan akan terus membantu isi rumah dan perniagaan yang memerlukan bantuan untuk bayaran balik pinjaman selepas moratorium secara automatik berakhir semalam.
Bank pusat itu memberitahu, pelbagai pakej telah diperkenalkan institusi perbankan bagi memastikan bantuan secara bersasar dapat terus disampaikan kepada mereka yang memerlukan.
“Pakej ini termasuk pelanjutan moratorium secara bersasar serta fleksibiliti bayaran balik pinjaman bagi membantu peminjam berdasarkan keadaan kewangan mereka yang khusus.
“Pendekatan bersasar ini akan memastikan lebih banyak sumber tersedia untuk membantu mereka yang mudah terjejas. Pendekatan ini juga membolehkan sektor perbankan menyokong ekonomi secara lebih meluas melalui pemberian pinjaman yang berterusan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurut BNM, sehingga semalam kira-kira 500,000 permohonan untuk bantuan bayaran balik pinjaman telah diterima dengan kadar kelulusan sebanyak 98 peratus.
“Bagi permohonan yang masih belum mendapat jawapan, bank-bank telah memberikan komitmen mereka untuk memaklumkan keputusan permohonan tersebut secepat mungkin.
“BNM akan memantau rapi amalan bank-bank dalam hal ini,” katanya.
BNM turut menyeru peminjam yang menghadapi kesukaran berurusan dengan bank untuk menghubungi pihak BNMTeleLink melalui e-mel [email protected].
Katanya, pelbagai cara telah digunakan institusi perbankan untuk menghubungi peminjam secara aktif bagi memastikan sebanyak mungkin peminjam yang memerlukan dapat dicapai.
“BNM bersama-sama dengan industri perbankan telah mengadakan lebih 150 sesi perbincangan dan interaksi. Sesi ini termasuk kempen bantuan pembayaran balik pinjaman di seluruh negara serta perbincangan dan interaksi secara langsung dengan pelbagai kumpulan berkepentingan termasuk persatuan-persatuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Bagi melancarkan proses permohonan, institusi perbankan telah memudahkan langkah permohonan, membolehkan permohonan dibuat secara dalam talian dan melanjutkan waktu urusan cawangan bank, termasuk hujung minggu,” katanya. – UTUSAN