ASNB komited beri pulangan kompetitif - Utusan Malaysia

ASNB komited beri pulangan kompetitif

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) masih berupaya mengagihkan dividen yang baik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan untuk Amanah Saham Malaysia 3 (ASM3), ASN Equity 5 dan ASN Sara 2 bernilai RM645.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2020.

Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkata, syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya itu akan terus komited memberi pulangan kompetitif kepada para pemegang unit bagi dana-dana tersebut sambil membantu kesemua pemegang unit berhadapan pandemik Covid-19 ketika ini.

“PNB telah melaksanakan beberapa strategi untuk meluaskan portfolio pelaburan dengan mempelbagaikan portfolio dalam ekuiti antarabangsa dan memberi fokus kepada sektor yang kurang rentan terhadap persekitaran ekonomi semasa,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Untuk ASM3, ASNB mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM571.3 juta yang memanfaatkan 513,721 pemegang unit dengan pegangan 14.3 bilion unit.

“Dalam keadaan ekonomi yang sangat mencabar dan ketidaktentuan pasaran akibat pandemik Covid-19 dan juga perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularannya, pulangan 4 sen seunit ini kekal kompetitif dan mengatasi penanda aras pulangan deposit tetap 12 bulan Maybank pada kadar 2.51 peratus sebanyak 149 mata asas bagi tahun kewangan semasa setakat 24 September 2020,” katanya.

Bagi ASN Equity 5 pula, pembayaran pengagihan pendapatannya berjumlah RM12.7 juta dengan 3.10 sen seunit kepada 11,029 pemegang unit yang memiliki 413.2 juta unit manakala ASN Sara 2 mengagihkan RM61.9 juta pendapatan, bersamaan 3.60 sen seunit kepada 39,559 pemegang unit yang memiliki lebih 1.7 bilion unit.

“Pengagihan pendapatan yang diisytiharkan oleh ASM3, ASN Equity 5 dan ASN Sara 2 diperoleh daripada keuntungan dana yang direalisasi, dividen dan lain-lain pendapatan.

“Ini selaras dengan objektif PNB untuk memberikan pulangan mampan kepada pemegang unit dalam jangka masa panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya