WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menyaman Google kerana mendakwa syarikat itu menggunakan kekuatan pasarannya secara haram untuk ‘mengikat’ lawan dalam perebutan kuasa serta pengaruh syarikat teknologi utama dalam tempoh beberapa dekad.
Tuntutan oleh Jabatan Keadilan AS (DOJ) itu boleh menyebabkan perpecahan syarikat ikonik yang telah menjadi sangat sinonim dengan internet dan dianggap berperanan besar dalam kehidupan harian manusia.
Kes sebegitu sukar berlaku tetapi ia dijangka mengambil masa bertahun untuk selesai.
Tuntutan itu adalah cubaan pertama AS terhadap syarikat teknologi besar selepas negara itu menyaman Microsoft Corp. untuk amalan antipersaingan pada 1998.
Aduan AS terhadap Google yang mendakwa syarikat itu bertindak menyalahi undang-undang untuk mengekalkan kedudukan dalam pengiklanan pencarian di internet disertai 11 negeri.
“Gagal mematuhi perintah mahkamah, Google akan terus melaksanakan strategi antipersaingannya, melumpuhkan proses persaingan, mengurangkan pilihan pengguna dan melemahkan inovasi,” kata tuntutan tersebut.
Kerajaan AS mendakwa Google mempunyai hampir 90 peratus daripada semua pertanyaan enjin carian umum di negara itu dan hampir 95 peratus carian di telefon bimbit.
Peguam Negara, Bill Barr berkata, penyiasatnya mendapati Google tidak bersaing menggunakan kualiti keputusan cariannya tetapi ‘membeli’ kejayaannya melalui bayaran kepada pembuat telefon bimbit.
“Hasilnya, tiada sesiapa yang boleh mengatasi dominasi Google dalam pengiklanan pencarian,” katanya.
Sementara itu, pegawai DOJ, Ryan Shores ketika ditanya tentang impak tuntutan itu terhadap Google berkata, pelbagai kemungkinan boleh berlaku tetapi ia sebaiknya diputuskan oleh mahkamah.
“Segalanya mungkin tetapi persoalan penyelesaian (untuk Google) lebih baik dijawab oleh mahkamah selepas mendengar semua bukti,” katanya. – AGENSI