RIYADH: Kementerian Kewangan Arab Saudi menganggarkan harga minyak mentah global akan berada pada paras AS$50 (RM207.97) satu tong untuk tempoh tiga tahun akan datang, menurut analisis Goldman Sachs Group Inc. mengenai rancangan fiskal kerajaan Arab Saudi.
“Dengan menggunakan anggaran kami menerusi pecahan pendapatan kerajaan, kami mengira bahawa angka yang terkandung dalam penyata belanjawan adalah berasaskan kepada purata harga minyak sekitar AS$50 antara 2020 hingga 2023,” kata penganalisis Goldman Sachs, Farouk Soussa berpangkalan di London merujuk kepada penyata prabelanjawan Arab Saudi yang dikeluarkan pada 30 September lalu.
Harga minyak mentah Brent global turun 6.3 peratus kepada AS$39.27 (RM163.34) setong minggu lalu disebabkan lebih banyak negara mengetatkan sekatan susulan peningkatan kes Covid-19 dan berita Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang dijangkiti virus tersebut sekali gus mencetuskan kebimbangan pelabur mengenai prospek permintaan bahan itu.
Walaupun unjuran AS$50 itu akan menyaksikan peningkatan 25 peratus daripada harga semasa, namun ia masih jauh berbanding AS$65 (RM270.37) yang dicatatkan sebelum penularan Covid-19 dan kurang daripada apa yang diperlukan Arab Saudi bagi mengimbangkan belanjawannya.
Pengiraan Goldman Sachs itu selari dengan bank pelaburan yang berpangkalan di Kaherah, EFG Hermes yang mengatakan belanjawan Arab Saudi tahun hadapan adalah berdasarkan harga minyak pada paras antara AS$50 hingga AS$55 (RM228.77).
Goldman Sachs bagaimanapun lebih optimistik apabila menganggarkan harga minyak mentah Brent akan melonjak kepada AS$65 pada akhir 2021.
Kerajaan Arab Saudi dalam kenyataan minggu lalu turut menjangkakan defisit fiskal negara itu akan berkurang kepada 5.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 berbanding 12 peratus tahun ini akibat pengurangan perbelanjaan.
Kementerian Kewangan Arab Saudi tidak memberikan sebarang komen berhubung perkara tersebut dengan kerajaan cenderung bertindak konservatif dalam menyusun belanjawannya.
Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Arab Saudi memerlukan minyak untuk didagangkan pada harga AS$66 (RM274.53) bagi mengimbangkan belanjawan pada 2021.
Arab Saudi berhati-hati dengan turun naik harga minyak selepas beberapa syarikat minyak gergasi termasuk BP Plc dan Total SE meramalkan era permintaan global bagi tenaga itu telah atau hampir berakhir dalam sedekad lagi.
Kebimbangan itu tercetus lebih-lebih lagi kepada Arab Saudi di mana minyak menyumbang hampir dua pertiga daripada pendapatan kerajaan tahun lalu.
Dalam suku kedua tahun ini, perolehan Arab Saudi daripada eksport minyak mentah merudum ke tahap terendah sejak 2016 walaupun memimpin usaha Pertubuhan Negara Pengeksport Petrouleum (OPEC) sejak Mei untuk memotong bekalan dan meningkatkan harga. – AGENSI