KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd. dilapor telah menghentikan pembiayaan terhadap syarikat gabungannya di India didorong oleh kemerosotan perjalanan global sekali gus berdepan masalah untuk menyokong empayar penerbangan tambang murahnya.
Menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber tidak mahu dikenali, masa depan AirAsia India Ltd. kini bergantung kepada pemegang saham terbesarnya yang juga konglomerat India, Tata Group.
Sumber tersebut berkata, Tata telah menyediakan dana kecemasan namun belum menyatakan komitmen bagi proses penyelamatan penuh.
Jelasnya, syarikat penerbangan tersebut bagaimanapun tidak menghadapi risiko untuk gulung tikar serta-merta.
Hujung minggu lalu, Menteri Penerbangan India mengeluarkan kenyataan bahawa AirAsia akan menutup operasi di negara Asia Selatan itu, namun pejabatnya menjelaskan kenyataan berkenaan dipetik di luar konteks.
AirAsia India bagaimanapun enggan mengulas lanjut, begitu juga wakil Tata manakala AirAsia Group tidak memberikan jawapan untuk mendapatkan kenyataan selepas waktu pejabat.
AirAsia berhadapan cabaran besar susulan pandemik Covid-19 dengan syarikat sekutunya di Jepun, AirAsia Japan Co Ltd. sah menghentikan operasi berkuatkuasa serta-merta kelmarin ekoran permintaan yang terus menurun.
Syarikat penerbangan tambang murah itu dikatakan memerlukan suntikan dana tambahan sebanyak RM2.5 bilion untuk menghadapi krisis yang sedang berlaku.
AirAsia India telah berjaya memperoleh pembiayaan berjumlah 3 bilion rupee (RM170.25 juta) daripada Tata yang memiliki 51 peratus saham dalam syarikat tersebut dengan satu lagi pembiayaan akan diperolehi tidak lama lagi.
Tata sedang mempertimbangkan pilihannya dan berapa banyak kos yang perlu ditanggung untuk membeli dan menyelamatkan syarikat penerbangan itu, kata individu lain.
Kumpulan Tata juga memiliki 51 peratus pegangan dalam syarikat penerbangan perkhidmatan penuh Vistara hasil kerjasama Singapore Airlines Ltd.
Sebelum ini, AirAsia India meramalkan dapat memperoleh pulangan modal dalam tempoh empat bulan ketia mula terbang pada tahun 2014.
Hakikatnya, ia masih belum memperoleh keuntungan susulan pasaran mencabar termasuk cukai tinggi bahan bakar dan harga tiket yang boleh membuatkan syarikat dominan juga tidak boleh membuat keuntungan.
AirAsia India mempunyai pegangan pasaran sebanyak 6.8 peratus dengan lebih daripada 3,000 orang pekerja. – UTUSAN