KUALA LUMPUR: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn. Bhd. (MAM) mengumumkan agihan pendapatan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak 2.40 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2020.
Agihan tersebut adalah yang kedua dan terakhir untuk tahun kewangan itu, bagi tempoh selama enam bulan bermula 1 April hingga 30 September.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Datuk Mahmud Fauzi Muda, agihan tersebut terdiri daripada pendapatan sebanyak 2.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.15 sen seunit yang mana bonus diberikan kepada 500,000 unit pertama dipegang setiap pemegang unit.
“Tempoh enam bulan kedua berakhir pada 30 September ini adalah tempoh yang sangat mencabar bagi kami disebabkan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Walaupun begitu, kami berpendapat bahawa jumlah 2.40 sen setiap unit atau dasar tahunan kurang dari lima peratus masih merupakan pulangan yang kompetitif untuk tempoh enam bulan antara April hingga September,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
April lalu, PHB dan MAM mengumumkan, agihan pendapat interim AHB sebanyak 2.30 sen seunit dengan agihan bonus 0.30 sen seunit bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac.
Ini menjadikan jumlah agihan pendapatan AHB bagi tempoh 12 bulan berakhir 30 September adalah 5 sen seunit, atau jumlah keseluruhan sebanyak RM188.05 juta.
Mahmud Fauzi berkata, dalam tempoh April hingga September, PHB telah memperuntukkan kira-kira RM32 juta untuk program Bantuan Sewa bertujuan membantu para penyewa yang terjejas akibat PKP.
“Bantuan dalam bentuk pengecualian bayaran sewa dan penangguhan diberikan kepada para penyewa yang beroperasi di semua bangunan milik PHB.
“Ini adalah sebahagian daripada inisiatif kami terhadap seruan kerajaan untuk membantu para peniaga di Malaysia,” katanya. – UTUSAN