HANOI: AES Corp. akan menandatangani perjanjian dengan PetroVietnam untuk membangunkan terminal import gas asli cecair (LNG) dan sebuah jana kuasa di Vietnam.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo berkata, perjanjian tersebut merupakan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak memandangkan ia akan membuka pintu untuk import berbilion dolar LNG ke Vietnam setiap tahun.
“Vietnam telah memberikan kebenaran untuk AES Corp., syarikat yang berpangkalan di Virginia untuk meneruskan projek tersebut,” katanya dalam Forum Perniagaan Indo-Pasifik yang diadakan secara maya.
Forum tersebut yang turut dihadiri rakan sejawatnya dari Vietnam, Pham Binh Minh berlangsung ketika AS meningkatkan retoriknya menentang pengaruh serantau syarikat milik China.
“Syarikat AS bertindak mengikut lunas undang-undang dan ketelusan serta mempunyai piawaian kualiti yang sangat tinggi untuk produk-produknya.
“Saya berkata demikian kerana ia agak berlawanan dengan syarikat-syarikat yang dimiliki China,” kata Pompeo.
Vietnam sedang membina banyak jana kuasa LNG, dengan yang pertama akan mula beroperasi pada 2023.
Ia merupakan langkah yang bakal menyaksikan LNG menjadi sumber tenaga utama untuk ekonominya yang pesat membangun.
Kebanyakan gas tersebut akan diimport dari AS yang mahu merapatkan defisit dagangannya dengan Vietnam yang kini melebar sehingga AS$44.3 bilion (RM184.40 bilion) untuk sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding AS$33.96 bilion (RM141.36 bilion) untuk tempoh sama tahun lalu.
Dalam forum tersebut, Delta Offshore Energy turut merealisasikan rancangan perjanjian bernilai AS$3 bilion (RM12.49 bilion) dengan Bechtel Corp., General Electric dan McDermott untuk membangunkan jana kuasa LNG berkuasa 3.2 gigawatt di daerah Bac Lieu, menurut Kedutaan Hanoi di AS. – AGENSI