JOHOR BAHRU: Seramai 165 pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negeri menerima surat kelulusan Geran Orang Lokal 2.0 dalam bentuk sumbangan peralatan bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Izhar Ahmad berkata, program itu melibatkan peruntukan berjumlah RM1.5 juta.
Katanya, sumbangan yang diberi berdasarkan kepadanya kelayakan masing-masing dengan had maksimum RM10,000.
“Menerusi program hari ini, seramai 165 usahawan daripada lebih 500 yang memohon menerima sumbangan Geran Orang Lokal 2.0 dalam berbentuk peralatan.
“Penerima hari ini terdiri daripada enam sektor berbeza antaranya automotif, kecantikan, pendidikan dan percetakan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Geran Orang Lokal 2.0 di Dewan Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.
Tambah Mohd. Izhar, pihaknya juga telah menghantar permohonan untuk meningkatkan jumlah peruntukan program itu menjadi RM3 juta pada tahun depan.
“Kita telah hantar permohonan untuk tingkatkan lagi peruntukan menerusi program ini menjadi RM3 juta pada tahun depan berbanding RM1.5 juta pada tahun ini, namun itu bergantung kepada kemampuan kerajaan negeri. Sekiranya diluluskan, pasti lebih banyak usahawan kecil dan sederhana dapat menerima manfaat sekali gus membantu mereka mengembangkan perniagaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, pihaknya berharap masyarakat khususnya golongan usahawan akan lebih peka dengan bantuan yang disediakan kerajaan negeri untuk mereka pada masa depan.
Sementara itu, salah seorang penerima, Siti Nazliah Naan, 34, berkata, dia berterima kasih dengan bantuan peralatan berbentuk mesin jahit yang diterimanya.
“Saya menerima tempahan namun tidak dapat memenuhinya kerana kekurangan peralatan mesin jahit, namun dengan bantuan ini saya dapat mengembangkan perniagaan saya.
“Secara tidak langsung saya juga dapat meningkatkan pendapatan keluarga menerusi perniagaan menjahit yang telah diusahakan sejak enam tahun lalu,” ujarnya yang menjalankan perniagaan itu di Kota Tinggi. – UTUSAN