Zaharudin CEO MNRB baharu - Utusan Malaysia

Zaharudin CEO MNRB baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MNRB Holdings Bhd. (MNRB) mengumumkan pelantikan Zaharudin Daud sebagai bakal Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu berkuat kuasa hari ini. 

MNRB dalam kenyataan memberitahu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ketika ini iaitu, Mohd. Din Merican akan bersara berkuat kuasa 23 November 2020 selepas lebih lapan tahun mengetuai syarikat tersebut. 

Menurut MNRB, pelantikan Zaharudin sebagai bakal Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan telah dicadangkan ahli lembaga syarikat bagi memastikan transisi kepemimpinan yang lancar dan sempurna. 

MNRB berkata, Zaharudin akan bekerjasama rapat dengan Mohd. Din semasa tempoh sementara ini sekali gus menggantikannya sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pada 23 November 2020. 

“Zaharudin berpengalaman lebih daripada 30 tahun dalam industri insurans umum. Sebelum menyertai MNRB, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa General Takaful Bhd. sejak Januari 2018. 

“Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Insurance Bhd. bermula Januari 2014 sehingga Januari 2018. Pada tahun 2010, Zaharudin dilantik sebagai Ketua, Operasi Singapura, Etiqa Insurance Bhd. Singapura selama empat tahun. 

“Zaharudin juga adalah Ahli Majlis Pengurusan Persatuan Insuran Am Malaysia dan Persatuan Insuran Nyawa Malaysia sehingga 2018 dan ahli lembaga pengarah ISM Insurance Services Malaysia Bhd. sehingga Ogos 2020,” kata kenyataan itu. 

Dalam pada itu, lembaga pengarah MNRB turut mengumumkan pelantikan Nor Azman Zainal sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family berkua tkuasa hari ini. 

Nor Azman merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful sejak Ogos 2017. Sebelum dilantik mengisi jawatan itu, Nor Azman merupakan Pengarah/Ketua Pegawai Pemasaran Prudential BSN Takaful sejak Jun 2012 hingga Ogos 2017. 

Menyentuh mengenai transisi kepemimpinan Kumpulan MNRB, Pengerusinya, Datuk Johar Che Mat meluahkan keyakinan bahawa pengalaman kedua-dua tokoh tersebut mampu membawa syarikat tersebut berkembang ke tahap lebih baik. 

“Kami mengharapkan peralihan kepemimpinan yang lancar memandangkan pengetahuan mereka dalam industri serta pengalaman yang pastinya menyumbang kepada pertumbuhan ke hadapan Kumpulan,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya