KUALA LUMPUR: AirAsia dan Sunway Group (Sunway) menawarkan jualan kilat melalui platform SNAP bagi penerbangan pergi balik ke Kuala Lumpur dan penginapan selama tiga hari dua malam di Hotel Sunway Pyramid, bermula RM99 seorang.
Harga promosi berkenaan disediakan untuk bilik berkembar termasuk tambang penerbangan pergi balik dan penginapan.
Jualan kilat tersebut bermula 11 September dari pukul 10 pagi sehingga habis terjual di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia untuk tempoh perjalanan dari 19 September hingga 10 Disember 2020.
Kerjasama antara AirAsia dan Sunway adalah usaha untuk merancakkan lagi sektor pelancongan domestik dengan tawaran lebih nilai kepada para pelancong pada harga tiada bandingan untuk pakej penerbangan, hotel, pelbagai aktiviti dan banyak lagi.
Penginapan lain yang boleh dinikmati dengan pakej menarik termasuklah Hotel Sunway Putra, Hotel Sunway Velocity, Hotel Sunway Clio dan Hotel Sunway City masing-masing di Kuala Lumpur serta Hotel Sunway di Georgetown, Pulau Pinang.
Tempahan bagi penginapan di hotel-hotel tersebut juga boleh dibuat melalui SNAP termasuk pakej penerbangan dan hotel.
Selain itu, tempahan tiket masuk ke Taman Tema Sunway Lagoon juga boleh didapati di airasia.com di pautan Activity atau tebus menggunakan Big Loyalty Poin.
Pas tahunan Sunway Lagoon juga akan disediakan secara eksklusif di airasia.com mulai 28 September ini dengan nilai terhebat.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia.com, Karen Chan berkata, kerjasama julung kali dengan Hotel Sunway Pyramid akan mengukuhkan lagi tawaran produk di AirAsia sebagai aplikasi digital perjalanan dan gaya hidup sehenti di ASEAN.
“Kami akan terus bekerjasama dengan Sunway untuk pelbagai tawaran menarik pada masa depan,” katanya dalam kenyataan.
Karen berkata, pelbagai tawaran menarik ditawarkan di Kuala Lumpur adalah kerana ketika ini masa yang sesuai untuk menikmati keindahan ibu kota dan kawasan sekitarnya. – UTUSAN ONLINE