KUALA LUMPUR: Sebagai meraikan semangat perpaduan rakyat Malaysia sewaktu berhadapan pandemik Covid-19, AirAsia Group Bhd. (AirAsia) tampil memberi tawaran istimewa dengan tambang bermula serendah RM39.
Tawaran tambang menarik itu diberikan kepada rakyat Malaysia untuk menghubungkan persaudaraan, menerokai kecantikan destinasi tempatan dan menghargai warisan negara.
AirAsia dalam kenyataan memberitahu, pelanggan boleh menikmati tambang serendah RM39 sehala dari Kuala Lumpur ke Terengganu atau RM99 sehala dari Johor Bahru ke Sibu menerusi laman web airasia.com.
Katanya, penumpang juga boleh menempah di aplikasi mudah alih AirAsia bermula semalam sehingga 16 September ini untuk tempoh perjalanan antara 15 September sehingga 28 April 2021.
Dalam pada itu, Ketua Komersial AirAsia, Amanda Woo turut mengumumkan syarikat penerbangan tambang murah itu akan mengendalikan penerbangan antara Kota Kinabalu dan Sibu pada 15 hingga 17 September sempena sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di Sibu.
“AirAsia adalah sebuah syarikat penerbangan tambang rendah paling popular di ASEAN yang bermula di Malaysia dan ia sentiasa menjadi kebanggaan kami.
“Sempena sambutan Hari Malaysia ini, kami berbangga untuk meraikan perpaduan dengan menghubungkan persaudaraan dengan tambang rendah.
“Walaupun pandemik telah menjejaskan pelbagai aspek dalam kehidupan kita, ia juga telah mengeratkan hubungan rakyat Malaysia. Perpaduan adalah kekuatan kita untuk menempuhi cabaran yang belum berakhir ini.
“Jadi, saya berharap semua rakyat Malaysia akan terus menjaga satu sama lain dan mengamalkan penjagaan kebersihan diri di tahap tertinggi untuk memastikan keselamatan dalam perjalanan di dalam norma baharu sambutan Hari Malaysia ini,” katanya dalam kenyataan semalam. – UTUSAN ONLINE