KUALA LUMPUR: Supermax Corporation Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Maxter Glove Manufacturing Sdn. Bhd. menyelesaikan pembelian dua bidang tanah pegangan bebas daripada anak syarikat milik penuh SP Setia Bhd. iaitu Bandar Setia Alam Sdn. Bhd. bernilai RM73.49 juta.
Menurut Supermax dalam makluman kepada Bursa Malaysia, rasional cadangan pembelian kedua-dua tanah tersebut adalah untuk membina ibu pejabat operasi Maxter Glove Manufacturing yang akan melengkapkan keperluan operasi masa hadapan.
Katanya, pembelian tersebut melibatkan dua bidang tanah berkeluasan kira-kira dua hektar yang terletak di mukim Bukit Raja, Petaling.
“Selain kelulusan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, cadangan pembelian itu tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham syarikat atau pihak berkuasa kawal selia lain.
“Cadangan pembelian akan dibiayai menerusi dana dalaman dan pinjaman bank. Gabungan antara kedua-dua dana itu ditentukan pada satu tarikh akan datang,” katanya dalam makluman itu.
Supermax berkata, cadangan pembelian kedua-dua tanah itu dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan.
Kedua-dua tanah yang dibeli Maxter Glove Manufacturing itu masing-masing berharga RM35.01 juta bagi 0.95 hektar tanah dan RM38.48 juta bagi 1.04 hektar tanah. – UTUSAN