NEW YORK: Syarikat China, ByteDance berdepan kesukaran menyakinkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk mereka mengekalkan pemilikan majoriti dalam aplikasi video pendeknya, TikTok di AS, menurut bekas pegawai keselamatan negara AS dan peguam pakar kawal selia.
Bulan lalu, Presiden AS, Donald Trump mengarahkan ByteDance untuk melucutkan hak ke atas TikTok ketika kebimbangan tentang keselamatan data kira-kira 100 juta rakyat Amerika yang menggunaan aplikasi itu dibimbangi terlepas ke tangan kerajaan China yang diperintah Parti Komunis.
Beliau malahan mengugut untuk mengharamkan TikTok di negara itu pada 20 September ini jika ByteDance tidak menuruti arahannya.
ByteDance telah menyerahkan pelan kepada pegawai AS untuk mereka mengekalkan pemilikan majoriti dalam perniagaan global TikTok dan menubuhkan ibu pejabat TikTok di AS, menurut laporan Reuters Selasa lalu.
Cadangan itu kini sedang dinilai oleh Jawatankuasa Pelaburan Asing AS (CFIUS), sebuah panel yang dipengerusikan oleh Jabatan Perbendaharaan AS.
“Secara konsepnya, saya mengaku saya tidak suka (cadangan ByteDance kekalkan pemilikan majoriti). Itu yang telah dilaporkan tetapi saya belum diberitahu lagi. Jika begitu gayanya, saya tidak akan gembira,” kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih kelmarin.
Jika Trump menerima cadangan tersebut, beliau perlu meminda Perintah Presiden yang ditandatanganinya pada 14 Ogos lalu yang mengarahkan ByteDance melucutkan hak ke atas TikTok di AS, sesuatu yang tidak pernah dilakukan mana-mana Presiden AS dalam sejarah keselamatan negara itu, kata pakar CFIUS.
“Selepas CFIUS membuat cadangan kepada Presiden dan Presiden mengeluarkan perintahnya untuk pelucutan hak, tidak pernah berlaku lagi kedua-dua parti yang terlibat merundingkan penyelesaian yang tidak melibatkan pelucutan hak, walaupun jelas ia tertakluk dalam kuasa Presiden untuk mengubah perintahnya,” kata rakan kongsi firma guaman Freshfields Bruckhaus Deringer LLP, Aimen Mir yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pembantu Setiausaha untuk Keselamatan Pelaburan di Jabatan Perbendaharaan AS.
Setakat ini, ByteDance, Rumah Putih dan Perbendaharaan masih belum memberikan sebarang komen. – AGENSI