KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerusi Khaira PPZ menyasarkan 1,000 peniaga kecil menerima sumbangan melalui peruntukan sebanyak RM1 juta sehingga hujung tahun ini.
Setakat ini Khaira PPZ telah membantu sebanyak 483 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bangkit semula menjalankan perniagaan mereka.
PPZ-MAIWP dalam kenyataan semalam memaklumkan, pihaknya bekerjasama dengan Bumbu Agency buat julung kalinya untuk mengadakan Program Webinar Bangkit secara percuma bagi membantu usahawan PKS memulakan perniagaan mereka secara dalam talian.
“Program berkenaan merupakan salah satu usaha dan tanda prihatin PPZ-MAIWP serta menyahut seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam menggembleng tenaga membantu golongan yang memerlukan lebih-lebih lagi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Melalui program ini, para peserta akan dilatih untuk memasarkan produk dan perniagaan mereka menggunakan saluran digital antaranya Facebook, Instagram, Youtube dan laman web oleh mentor pemasaran digital yang berpengalaman,” katanya.
Program itu dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff dan hadir sama Pengasas Bumbu Agency, Dzulfaqar Hashim.
Ujarnya, PPZ-MAIWP menyasarkan 3,000 penyertaan bagi Program Webinar Bangkit pada 30 September ini yang terbuka kepada masyarakat seluruh negara.
“Mereka yang berminat untuk menyertai program bangkit ini boleh mendaftar secara dalam talian di bangkit.zakat.com.my,” katanya.
Program Webinar Bangkit ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif Khaira PPZ untuk membantu PKS melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu Program Bangkit Khaira PPZ.
“Para peserta yang berjaya menamatkan program akan diberikan suntikan modal sekiranya perlu melalui inisiatif ini sekali gus membantu meringankan beban dan membangkitkan semangat mereka untuk menjadi peniaga yang berjaya dengan harapan mereka juga akan menjadi pembayar zakat di PPZ-MAIWP,” katanya. – UTUSAN