KUALA LUMPUR: Kemelut politik negara yang berpanjangan turut memberi kesan kepada prestasi Bursa Malaysia apabila ditutup di bawah 1,500 mata semalam.
Bursa ditutup pada paras 1,496.48 mata turun 0.62 peratus daripada 1,505.78 mata kelmarin. Prestasi itu turut menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung dengan 896 berbanding 246, sementara 344 kaunter tidak berubah, dengan nilai dagangan RM8.453 bilion.
Mengulas perkembangan tersebut, Penyelidik Ekonomi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli Amirullah berpendapat, perubahan iklim politik akan memberi impak besar pada kewangan semasa, namun kejatuhan saham dalam jangka masa pendek tidak menjejaskan pasaran.
“Jika kita lihat, pergolakan politik ketika pertukaran kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) lalu juga menunjukkan pasaran saham jatuh, namun selepas beberapa bulan kemudian ia kembali stabil.
“Perkara ini akan berlaku dalam jangka pendek dan pasaran akan kembali pulih dalam masa antara tiga dan enam bulan jika faktor kestabilan kerajaan dapat dipulihkan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Tambahnya, dalam perspektif ekonomi, apabila ada satu peristiwa yang terjadi yang boleh meningkatkan faktor ketidakstabilan kerajaan, pasaran kewangan akan ada knee jerk reaction yang bertindak secara semula jadi, atas sebab peristiwa itu berlaku.
“Setiap keputusan pergolakan antara parti politik, keputusan yang dibuat akan melibatkan aliran duit keluar masuk ke negara. Oleh itu, ketidakpastian kerajaan sekali gus menyebabkan duit keluar pada pasaran,” katanya.
Ketua Ekonomi, Pusat Penyelidikan Pasaran Buruh Masa Hadapan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusof Saari pula berpendapat, pergolakan dan ketidakstabilan politik tidak akan memberi implikasi besar kepada prestasi ekonomi negara secara keseluruhannya yang kini dalam pemulihan.
Beliau berpendapat, prestasi pasaran saham bukanlah petunjuk ekonomi utama yang digunakan untuk menilai prestasi atau ‘kesihatan’ ekonomi ekoran pasaran saham hanyalah memberi tindak balas sentimen pelabur saham ke atas portfolio.
“Pasaran saham boleh naik ketika ekonomi merudum seperti semasa krisis ekonomi pada 1997/1998 dan boleh turun sekiranya ekonomi meningkat.
“Untuk melihat impak kepada ekonomi, kita perlu melihat petunjuk utama seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pengangguran, harga, pelaburan langsung asing dan jumlah dagangan. Jadi, jangan panik dan jangan salah guna indikator,” katanya.
Mohd. Yusof berkata, sekiranya negara berdepan perubahan tampuk pemerintahan, dasar dan politik yang menjurus kepada kepentingan rakyat perlu diteruskan.
“Siapapun pemimpin kerajaan, mana-mana dasar atau polisi yang baik perlu diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada isi rumah dan rakyat dalam berdepan dengan krisis Covid-19.
“Mana-mana dasar dan program yang baik kepada ekonomi perlu ditambah baik. Sebaliknya, prestasi ekonomi akan berisiko jika tampuk pemerintahan baharu mengubah arah tuju pemulihan dan pembaharuan ekonomi. Sebaik-baiknya, dasar dan program pemulihan untuk jangka masa antara satu dan dua tahun boleh dikekalkan dengan penambahbaikan,” katanya. – UTUSAN