KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menyelesaikan bayaran cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berjumlah RM2.96 bilion untuk produk petroleumnya kepada kerajaan Sarawak, semalam.
Bayaran itu diserahkan dalam bentuk replika cek kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis di Wisma Bapa Malaysia di Kuching, Sarawak.
Ini merupakan pertama kali Petronas membuat pembayaran SST kepada mana-mana kerajaan negeri.
Petronas yang ditubuhkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, juga masih membayar royalti minyak tahunan sebanyak lima peratus kepada Sarawak.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, pembayaran tersebut menjadi bukti komitmen Petronas terhadap mencapai resolusi komersial dalam isu tersebut.
“Bayaran tersebut mewakili penyelesaian penuh dan terakhir Petronas untuk cukai jualan tahun 2019. Bayaran untuk tahun 2020 akan dibuat selepas penilaian oleh Pengawal Cukai Jualan Negeri Sarawak,” katanya dalam kenyataan itu.
Pada Januari tahun lalu, kerajaan Sarawak menuntut SST sebanyak lima peratus atas produk petroleum Petronas di negeri itu di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998 namun ditolak Petronas atas alasan tuntutan tersebut tidak mematuhi berpelembagaan.
Perkara tersebut dibawa ke mahkamah dan Mahkamah Tinggi Kuching pada 13 Mac 2020 memutuskan bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum yang diambil dari kedua-dua negeri tersebut.
Petronas telah memfailkan rayuan atas keputusan tersebut namun kedua-dua pihak mencapai persetujuan pada Mei tahun ini untuk menarik semula tuntutan undang-undang ke atas satu sama lain.
Dalam kenyataan yang sama, Petronas menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak untuk memperkasa sektor minyak dan gas di Sarawak demi membentuk persekitaran perniagaan dan pelaburan yang lebih stabil serta kondusif.
Petronas mengalami tekanan selepas mengumumkan kerugian sebanyak RM21 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020. – UTUSAN