KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) negara kembali mencatatkan pertumbuhan positif pada kadar 1.2 peratus Julai lalu iaitu keputusan positif semenjak Februari 2020 berbanding bulan sama tahun 2019.
Mengulas prestasi tersebut, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan IPP pada Julai didorong oleh kenaikan 2.9 peratus dalam indeks pembuatan.
Walau bagaimanapun, Mohd. Uzir berkata, indeks perlombongan dan indeks elektrik masing-masing merekodkan kemerosotan 3.0 peratus dan 5.1 peratus.
“Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 2.9 peratus pada Julai selepas mencatatkan pertumbuhan 4.7 peratus pada Jun 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada Julai adalah produk peralatan elektrik dan elektronik sebanyak 9.6 peratus, kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (9.0 peratus) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (1.5 peratus).
Output sektor perlombongan pula menguncup 3.0 peratus pada Julai berbanding tempoh sama 2019 disebabkan penurunan indeks minyak mentah dan kondensat pada kadar -1.2 peratus serta indeks gas asli (-4.4 peratus).
Output sektor elektrik turut menguncup 5.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. – UTUSAN ONLINE