LONDON: Jumlah belia yang menganggur di United Kingdom (UK) meningkat sebanyak 156,000 orang dalam tempoh tiga bulan sehingga Julai, menurut perangkaan terbaharu.
Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) UK mendedahkan, mereka yang berusia antara 16 sehingga 24 tahun mengalami kejatuhan kadar guna tenaga terbesar berbanding kumpulan umur lain.
Secara keseluruhannya, kadar pengangguran UK meningkat kepada 4.1 peratus sepanjang tempoh tersebut, berbanding 3.9 peratus sebelum ini.
Syarikat terus membuang pekerja sebagai persediaan memandangkan bantuan bayaran gaji buat pekerja yang dicutikan bakal tamat tidak lama lagi.
Kira-kira 695,000 pekerja di UK kehilangan pekerjaan sejak Mac, ketika sekatan pergerakan dilaksanakan.
Skim Pengekalan Pekerjaan oleh kerajaan mula dikurangkan bulan hadapan sebelum berakhir pada 31 Oktober.
Pengarah Perangkaan Ekonomi ONS, Darren Morgan berkata, ada tanda-tanda bahawa ekonomi boleh dibuka semula seperti yang berlaku pada Julai apabila perniagaan seperti restoran, pub dan kedai gunting rambut dibenarkan untuk beroperasi semula.
“Walau bagaimanapun, dengan jumlah pekerja yang bekerja menurun semula pada Ogos dan kadar pengangguran terus meningkat mendadak pada Julai, jelas bahawa Covid-19 masih mempunyai impak besar kepada dunia pekerjaan,” katanya.
Dalam pada itu, Economic Times melaporkan, ekonomi UK mulai pulih pada Julai selepas perintah larangan pergerakan akibat Covid-19 mula dilonggarkan.
Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi masih lagi perlahan dan kini berdepan risiko berkaitan Brexit.
Pada Julai lalu, lebihan perdagangan UK turun kepada 1.07 bilion pound (RM5.70 bilion) daripada 1.16 bilion pound (RM6.18 bilion) Julai 2019, dengan ekport susut -19.3 peratus tahun ke tahun, sementara import pula jatuh -13.7 peratus.
Meskipun semua larangan berkaitan dengan Covid-19 telah dilonggarkan, jumlah dagangan masih lagi pasif disebabkan rundingan isu-isu perdagangan Brexit, selain sekatan aktiviti rentas sempadan.
“Ketegangan isu-isu geopolitik turut mengundang risiko kepada aktiviti perdagangan global. Kami menjangkakan aktiviti perdagangan akan pulih secara berperingkat pada separuh kedua 2020,” kata seorang penganalisis ekonomi. – AGENSI