Pendapatan S2 Astro RM1.09b - Utusan Malaysia

Pendapatan S2 Astro RM1.09b

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) mencatatkan peningkatan pendapatan empat peratus kepada RM1.09 bilion untuk suku kedua (S2) bagi tahun kewangan ber­akhir 31 Januari 2021.

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATAMI) Astro meningkat 81 peratus kepada RM134 juta bagi tempoh sama, manakala PATAMI dinormalisasi meningkat 13 peratus kepada RM121 juta dalam tempoh itu.

Susulan prestasi itu, Astro turut mengumumkan dividen 1.5 sen sesaham lebih tinggi berbanding dividen 1.0 sen sesaham yang diumumkan pada suku pertama.
Hasil pendapatan Go Shop pula merekodkan peningkatan sebanyak 52 peratus kepada RM145 juta.

Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi dalam kenyataannya berkata, menerusi aktiviti ekonomi yang kini kembali bermula secara beransur-ansur, Astro dapat melihat tanda-tanda pemulihan yang cukup positif pada suku kedua tahun ini.

“Penyata imbangan kewa­ngan Astro kekal kukuh di mana ia berterusan menjana pendapatan tunai, mengawal kos kewangan secara berdisiplin dan sentiasa proaktif daripada aspek pengurusan modal syarikat.

“Namun begitu, perbelanjaan syarikat tetap dilaksanakan secara berhemat memandangkan ketidaktentuan yang tercetus daripada pandemik Covid-19.

“Oleh itu, pihak lembaga pengarah berbesar hati mengumumkan pembayaran dividen yang lebih tinggi pada kadar 1.5 sen sesaham untuk suku tahun kedua,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, kumpulan Astro turut mengimbangi langkah-langkah proaktif tatkala berdepan persekitaran tidak menentu sehubungan penularan pandemik Covid-19.

“Kami mengambil langkah untuk menangguhkan beberapa inisiatif utama termasuklah aktiviti upselling, pemasangan dan pembikinan produksi rancangan realiti (reality show) atau program siaran langsung,” katanya.

Ujarnya, prestasi Go Shop dan pengenalan dekoder Ultra Box turut menyumbang kepada pres­tasi Astro suku tersebut.

“Go Shop juga melebarkan cabang perniagaannya apabila menawarkan produk-produk segar dan beku yang mana telah merekodkan prestasi yang memberansangkan,” katanya.

Beliau berkata, Go Shop turut menyaksikan jumlah pelanggan berdaftarnya meningkat 31 peratus tahun ke tahun kepada 2.6 juta orang manakala pembelian di platform digital atau dalam talian meningkat 50 peratus daripada jumlah jualan secara keseluruhan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya