Nilai moratorium RM78.14b - Utusan Malaysia

Nilai moratorium RM78.14b

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM78.14 bilion setakat 21 Ogos lalu.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Laporan Laksana Ke-19 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), daripada angka tersebut, sebanyak RM50.79 bilion telah dimanfaatkan rakyat manakala selebihnya iaitu RM27.35 bilion digunakan oleh sektor perniagaan.

“Bagi mereka yang masih memerlukan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar selepas 30 September, institusi perbankan bersedia membantu peminjam.

“Pihak yang masih terkesan juga boleh mula hubungi institusi perbankan untuk berbincang dan memohon fleksibiliti pembayaran balik,” katanya dalam laporan tersebut semalam.

Moratorium pembayaran balik pinjaman secara automatik telah dilaksanakan kerajaan bermula April dan bakal berakhir 30 September ini.

Kerajaan bagaimanapun melanjutkan moratorium secara bersasar selama tiga bulan lagi khusus untuk golongan benar-benar memerlukan dan masih terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Mengulas program pembendungan penularan wabak Covid-19, Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM515 juta telah disalurkan setakat 21 Ogos lalu dalam usaha meningkatkan keupayaan Kementerian Kesihatan memerangi pandemik tersebut.

Katanya, sebanyak RM1 bilion telah diperuntukkan bagi membiayai pembelian peralatan perubatan, peralatan perlindungan diri (PPE) dan keperluan makmal untuk saringan Covid-19.

Mengenai kedudukan ekonomi semasa, Tengku Zafrul menjelaskan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan kerajaan telah mula membuahkan hasil positif.

Beliau berkata, pemulihan kepada angka jumlah eksport, kadar pengangguran, Indeks Pembuatan Industri dan lain-lain indikator ekonomi telah mula kelihatan pada Julai lalu.

“Malah, hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua, jika dianalisis dari bulan ke bulan, kita dapat lihat peningkatan mendadak dari April iaitu -28.6 peratus ke Jun -3.2 peratus. Ini membayangkan pertumbuhan lebih baik pada bulan-bulan akan datang, InsyaAllah.

“Kebanyakan perniagaan juga lebih optimis dalam separuh kedua 2020 sekali gus menunjukkan peningkatan sentimen,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN