WASHINGTON: Microsoft akan melancarkan dua konsol permainan generasi akan datang baharu, Xbox Series X dan Xbox Series S pada 10 November nanti dan pra-pesanan boleh dibuat bermula 22 September ini.
Xbox Series X berharga AS$499 (RM2,079) manakala Xbox Series S bermula daripada AS$299 (RM1,246) seunit.
Kedua-dua konsol permainan XBox ini didatangkan dengan versi yang lebih kecil dan lebih murah.
Microsoft turut menawarkan langganan secara ansuran yang membolehkan pelanggan membayar Xbox Series X pada harga AS$34.99 (RM146) sebulan, manakala Xbox Series S AS$24.99 (RM104) sebulan, untuk tempoh selama 24 bulan.
Langganan itu juga merangkumi akses ke Xbox Game Pass Ultimate dan EA Play, yang membolehkan pelanggan memuat turun atau mendapatkan lebih daripada 100 permainan ke Xbox atau komputer peribadi (PC) mereka.
Ia juga merangkumi perkhidmatan penstriman mudah alih baharu Microsoft yang membolehkan pelanggan melakukan penstriman dari awan ke telefon pintar jenis Android.
Bagi pelanggan yang tidak melanggan, mereka diwajibkan untuk membeli pelan langganan Game Pass secara berasingan, dengan harga bermula daripada AS$9.99 (RM42) sebulan.
Xbox Series X adalah empat kali lebih ‘kuasa’ berbanding Xbox One X sebelum ini yang merangkumi pemproses AMD Zen 2 8-teras, dengan fungsinya sama iaitu memberi kuasa kepada konsol permainan PlayStation 5 (PS5), walaupun Xbox mempunyai kad grafik yang lebih baik.
Xbox Series S pula tidak mempunyai pemacu cakera dan 60 peratus lebih kecil berbanding Series X, maka pelanggan perlu memuat turun atau menstrimkan semua permainan bagi Xbox Series S.
Konsol permainan Xbox Series X dan Xbox Series S bersaing dengan PS5 yang mempunyai ciri-ciri baharu lebih terperinci yang turut akan dilancarkan pada musim cuti akhir tahun ini. – AGENSI