IPOH: MajuPerak Holdings Bhd. (MHB) dan Lagenda Properties Berhad (LPB) membangunkan projek pembangunan bercampur di Mukim Batang Padang di Tapah dengan nilai anggaran pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM295 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Nizran Noordin berkata, projek pembangunan tersebut dijalankan menerusi anak syarikat MHB dan Lagenda Properties Berhad iaitu Tenaga Danawa Sdn. Bhd. dan Taraf Nusantara Sdn. Bhd. (Taraf Nusantara).
Katanya, kerjasama itu bukti usaha berterusan kedua-dua pihak dalam menyumbang kepada pembangunan negeri dan manfaat rakyat.
“Dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM295 juta, kami optimis terhadap prospek masa depan terutama dalam segmen harta tanah bagi jangka panjang.
“Kami juga berpegang pada mandat untuk membangunkan rumah mampu milik di negeri ini,” katanya dalam kenyataannya di sini semalam.
Pembangunan bercampur di tanah seluas 93 hektar terletak di Mukim Batang Padang, Tapah itu merupakan projek pertama MHB yang dibangunkan atas tanah sendiri dengan kerjasama pemaju hartanah yang berpengalaman.
Projek itu merangkumi pembangunan 1,374 unit rumah teres satu tingkat, 264 unit rumah kedai dua tingkat serta plot untuk pelbagai kemudahan penduduk seperti stesen minyak, pasar raya dan pejabat untuk agensi kerajaan.
Jualan rumah antara RM152,000 hingga RM172,000 seunit manakala rumah kedai pula berharga RM284,000 hingga RM299,000 seunit.
Pembangunan tersebut bakal dimulakan awal tahun hadapan dan dijangka siap pada 2026. – UTUSAN